Keselamatan sesebuah negara sering kali dikaitkan dengan memiliki kekuatan barisan tenteranya. Dalam era yang semakin kompleks dan penuh ketidakpastian, gambaran barisan askar yang lengkap bersenjata di medan pertahanan, seolah-olah menjadi simbol kedaulatan dan tanggungjawab utama mereka.
Namun, hakikatnya keselamatan negara bukan sekadar tugas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), malah turut menuntut penglibatan seluruh lapisan rakyat. Walaupun tentera dilengkapi latihan, kelengkapan dan strategi dalam mempertahankan tanah air daripada ancaman luar, sokongan padu rakyat melalui kesedaran awam, kesiapsiagaan komuniti dan penglibatan aktif dalam konsep pertahanan menyeluruh amat penting untuk memastikan keamanan negara kekal terpelihara.
Kesedaran awam sebagai benteng pertama
Pertahanan negara tidak hanya bermula di barisan hadapan peperangan, tetapi diterapkan dalam minda dan sikap rakyatnya juga. Tanpa sokongan dan kesedaran awam, langkah pertahanan akan menjadi rapuh. Kesedaran ini meliputi pemahaman tentang ancaman yang dihadapi negara, kepentingan perpaduan, dan tanggungjawab menjaga keamanan di persekitaran masing-masing.
Konsep pertahanan menyeluruh atau (total defence), telah lama menjadi asas strategi keselamatan di kebanyakan negara. Hal ini demikian, kekuatan mempertahankan negara bukan sahaja dari segi ketenteraan, tetapi juga meliputi aspek ekonomi, sosial, psikologi dan infrastruktur. Ia menuntut setiap individu, sama ada di bandar atau desa, memahami peranannya dalam melindungi negara daripada sebarang ancaman, walaupun perlu berdepan dalam situasi krisis.
Ini kerana, ancaman terhadap negara kini bukan hanya berbentuk serangan bersenjata. Tetapi, dalam era globalisasi semakin maju ini, ancaman boleh hadir dalam bentuk serangan siber, sabotaj ekonomi, pengaruh maklumat palsu, dan bencana alam. Ini memerlukan rakyat yang berpengetahuan, berdisiplin dan memiliki kekuatan mental sebagai perisai dan dokongan kepada pertahanan negara.
Dalam masa sama, kesedaran awam juga menjadi kunci untuk mengesan, melaporkan, dan menghalang ancaman sebelum ia meluas. Tanpa masyarakat yang peka dan bersatu, pertahanan negara mudah terjejas walaupun tentera berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi.
Di negara seperti Singapura dan Switzerland, pendidikan pertahanan awam bermula sejak di sekolah. Rakyat dilatih untuk berfikir secara kritis, bertindak secara bersepadu, dan tidak panik ketika krisis. Malaysia turut bergerak ke arah ini, namun tahap kesedaran rakyat masih perlu diperkasa agar mereka benar-benar memahami bahawa keselamatan negara bermula dari diri sendiri.
Kempen kesedaran siber oleh kerajaan dan agensi keselamatan, misalnya, telah berjaya mengurangkan kes penipuan dalam talian apabila rakyat didedahkan untuk mengenal pasti tanda-tanda serangan. Begitu juga, pendedahan mengenai bahaya berita palsu membantu menghalang konflik sosial yang boleh melemahkan perpaduan nasional.
Peranan komuniti, tunjang keamanan negara
Selain ATM yang sebagai barisan utama pertahanan negara, komuniti lain juga memainkan peranan penting walaupun berbeza konsep dan matlamat. Di Malaysia, pembentukan Pasukan Sukarelawan Malaysia, (RELA), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pasukan Simpanan ATM serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuktikan rakyat mampu menyumbang tenaga dan kemahiran secara langsung dalam menjaga keamanan negara.
RELA, misalnya, kerap mengendalikan kawalan keselamatan di kawasan awam dan membantu operasi penguatkuasaan. APM pula, sering menjadi antara pasukan terawal tiba di lokasi bencana, memberi bantuan kecemasan dan mengurus pemindahan mangsa.
Sementara itu, Pasukan simpanan seperti Askar Wataniah atau Pasukan Simpanan Sukarela PDRM juga berperanan sebagai barisan sokongan apabila negara memerlukan tambahan kekuatan. Ini membuktikan bahawa rakyat biasa, dengan latihan dan disiplin yang betul, mampu menjadi aset pertahanan yang signifikan.
Perpaduan dan kerjasama: Perpaduan dan kerjasama
Tidak dinafikan bahawa anggota tentera merupakan tulang belakang pertahanan negara, namun kerjasama dan perpaduan rakyat membentuk pertahanan yang lebih ampuh. Perpaduan merupakan asas daya tahan sesebuah negara.
Bagaimanapun, kesiapsiagaan awam tidak hanya bergantung pada keberanian, tetapi memerlukan latihan yang realistik. Dalam dunia yang semakin tidak menentu, rakyat yang bersedia secara mental, fizikal, dan rohani adalah benteng pertahanan paling kukuh.
Rakyat yang bersatu dan kuat akan lebih bersedia menghadapi krisis, saling membantu, dan tidak mudah diprovokasi oleh pihak yang cuba menimbulkan huru-hara. Keadaan ini sekali gus memupuk sikap patriotisme serta semangat mempertahankan keamanan negara.
Keamanan negara bukan sesuatu yang boleh diambil mudah. Ia dibina atas kesedaran, perpaduan, dan penglibatan aktif seluruh masyarakat. Tentera mungkin menjadi perisai utama, tetapi rakyat adalah dinding yang memastikan negara tetap utuh walaupun dilanda badai.
Dalam era ancaman yang pelbagai bentuk, pertahanan menyeluruh bukan lagi pilihan, tetapi keperluan. Jika setiap rakyat memahami peranan masing-masing, Malaysia akan memiliki kekuatan yang bukan sahaja terletak pada senjata atau teknologi, tetapi juga pada jiwa warganya. Kerana pada akhirnya, pertahanan yang paling kukuh adalah rakyat yang bersatu, berdisiplin, dan sentiasa bersedia mempertahankan tanah air tercinta. -airtimes.my
#Airtimes #Anggotakeselamatan #ATM #Pertahanan #Malaysia