Home Pertahanan dan Keselamatan Program VDM: MINDEF perkasa veteran ATM, masyarakat setempat

Program VDM: MINDEF perkasa veteran ATM, masyarakat setempat

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Kementerian Pertahanan (MINDEF) terus mengukuhkan hubungan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), veteran ATM dan komuniti setempat menerusi pelaksanaan Program Veteran Desa Madani (VDM) di daerah Sungai Siput, Perak.

Program yang disempurnakan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari itu merupakan edisi kelima bagi tahun 2025, selepas penganjurannya di Pengkalan Chepa, Gua Musang dan Jeli di Kelantan serta Slim River, Perak.

Menurut MINDEF, pelaksanaan VDM menjadi platform penting dalam menyantuni golongan veteran ATM, khususnya mereka dalam kategori B40 dan asnaf, di samping memperkukuh hubungan pertahanan menyeluruh antara ATM dan masyarakat luar bandar.

“Program ini berfungsi sebagai kolaborasi antara kementerian dan kerajaan negeri dalam usaha menyampaikan bantuan kebajikan kepada veteran terpilih,

“Ia juga bagi memenuhi aspirasi MINDEF yang sentiasa ‘responsif, prihatin dan komited’ dalam menjaga kesejahteraan dan kebajikan veteran ATM serta memperluaskan inisiatif kerjasama awam-tentera (CIMIC),” jelas MINDEF dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya, program ini juga selaras dengan pembangunan dasar Malaysia Madani (Teras Kesejahteraan dan Ihsan) untuk kementerian terus berusaha mengenal pasti sebarang peluang yang boleh memanfaatkan veteran dan tanggungan demi memperkasakan agenda kebajikan veteran ATM.

Program ini turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi seperti Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lembaga Koko Malaysia, PERHEBAT, Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM dan Rejimen 503 (AW), Pasukan Simpanan Tentera Darat.

“Antara pengisian program termasuklah pemeriksaan kesihatan, khidmat nasihat kerjaya dan kewangan, pameran hasil pertanian dan kraftangan, serta penyampaian bantuan kepada komuniti orang asli Kampung Bawong dan sekitarnya di Pos Chenein,” jelas kenyataan itu lagi.

Dalam masa yang sama, Adly turut meninjau kawasan kampung dan menyampaikan sumbangan Rahmah serta bantuan lain kepada veteran ATM dan penduduk setempat.

Turut diadakan majlis penyerahan kad veteran ATM kepada komuniti orang asli di Dewan Pandak Hamid, One Stop Centre Orang Asli (OAOSC) Kampung Bawong.

Terdahulu, Adly turut mengadakan lawatan kebajikan ke rumah beberapa veteran ATM asnaf, termasuk penyampaian bantuan keperluan asas dan peralatan pertanian seperti pam air elektrik dan sistem saliran tanaman kepada seorang usahawan veteran yang mengusahakan tanaman cili.

“Inisiatif ini selaras dengan agenda Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan masyarakat dan usaha berterusan untuk memastikan golongan veteran tidak terpinggir daripada akses bantuan kerajaan,” kata Adly.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah JHEV ATM, Sophian Isswandy Ismail, Pengarah JHEV ATM Negeri Perak, Mejar Noor Yahya Sulaiman, serta wakil persatuan veteran ATM sekitar negeri.-airtimes.my

#pertahanan #veteranATM #VDM #Malaysia #ATM #airtimes

 

Leave a Reply