Home Pertahanan dan Keselamatan Perolehan kenderaan perisai Tentera Darat lemah, RM162 juta denda masih belum dikutip

Perolehan kenderaan perisai Tentera Darat lemah, RM162 juta denda masih belum dikutip

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 mendedahkan kelemahan serius dalam pengurusan perolehan dan pentadbiran kontrak berkaitan kenderaan perisai Tentera Darat Malaysia (TDM) bagi tempoh 2020 hingga 2023, melibatkan implikasi kewangan berjumlah ratusan juta ringgit.

Ketua Audit Negara, Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, antara penemuan utama, kerajaan masih belum mengutip denda kelewatan bernilai RM162.75 juta daripada sebuah syarikat pembekal utama kenderaan perisai 8×8 GEMPITA, meskipun kontrak telah tamat sejak Disember 2022.

Menurutnya, notis tuntutan dikeluarkan hanya selepas 746 hari (dua tahun lebih) kontrak berakhir, menyebabkan risiko tinggi denda tidak dapat dikutip sepenuhnya memandangkan bayaran penuh RM7.517 bilion telahpun dibuat kepada syarikat tersebut.

Lebih membimbangkan, bon pelaksanaan yang dipegang kerajaan hanyalah sebanyak RM53.93 juta, jauh lebih rendah daripada jumlah denda yang sepatutnya dituntut.

Selain itu, audit turut menemukan bahawa perkhidmatan senggaraan, pembaikan dan pembekalan alat ganti untuk kenderaan GEMPITA, ADNAN dan PENDEKAR mengalami kelewatan antara dua hingga 227 hari, namun denda berjumlah RM1.42 juta masih belum dikenakan kepada syarikat-syarikat terlibat sehingga hujung 2023.

Wan Suraya turut memaklumkan, pihaknya juga mengesan perolehan secara pecah kecil berjumlah RM107.54 juta bagi tempoh sama, bertentangan dengan pekeliling kewangan dan tatacara perolehan Angkatan Tentera.

Pihak Audit Negara menyifatkan kelemahan pentadbiran ini sebagai berisiko tinggi kepada kepentingan kerajaan, terutamanya apabila pembayaran penuh dibuat sebelum pelaksanaan denda.

Dalam maklum balasnya, Kementerian Pertahanan memaklumkan sedang meneliti notis tuntutan denda terhadap syarikat berkenaan dan telah mengambil tindakan susulan dengan mengeluarkan arahan dalaman agar notis kelewatan dikeluarkan dalam tempoh tujuh hari selepas pelanggaran kontrak.

Pihak Audit menegaskan bahawa kelewatan pembekalan kenderaan perisai boleh menjejaskan keupataan Tentera Darat untuk menyediakan kenderaan perisai yang mencukupi.-airtimes.my

#pertahanan #airtimes #LKAN #Malaysia #TDM

Leave a Reply