KUALA LUMPUR, 21 Julai – Ahli Parlimen Kuala Krau, Kamal Ashaari mempersoalkan kewajaran cadangan kerajaan membuka pusat pembuatan peluru baharu di Kuala Lipis sedangkan pelbagai isu kritikal dalam industri pertahanan negara masih belum ditangani dengan tuntas.
Beliau membangkitkan persoalan itu dalam soalan tambahannya kepada Menteri Pertahanan di Dewan Rakyat hari ini.
Kamal menyifatkan perancangan sektor pertahanan kini seolah-olah tidak mengambil kira kesan dasar terdahulu, termasuk impak terhadap syarikat pembekal utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang bergelut dengan masalah kewangan.
“Isu perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS) masih belum siap, kini timbul pula isu SMB Ardernan di Batu Arang yang merupakan pembekal utama kepada ATM, yang kini berdepan masalah kewangan,
“Tiba-tiba kerajaan umumkan cadangan buka pusat peluru baharu di Kuala Lipis – adakah kerajaan mengkaji kesan langsung terhadap syarikat-syarikat seperti di Batu Arang?” soalnya lantang.
Beliau turut mempersoalkan sejauh mana kerjasama strategik antara kerajaan dan Kementerian Pertahanan dalam menentukan polisi pertahanan negara, khususnya melibatkan industri tempatan.
“Adakah setiap cadangan pembangunan dalam industri pertahanan benar-benar diselaraskan dengan Kementerian Pertahanan? Atau sekadar keputusan tergesa-gesa tanpa menilai kesan rantaian terhadap pelaku industri sedia ada?” tambah beliau.
Beliau memberi amaran bahawa tanpa hala tuju yang jelas dan penyelarasan antara dasar dan realiti lapangan, Malaysia bakal mengulangi kesilapan lama seperti projek LCS yang berlarutan tanpa penyelesaian muktamad.
Menjawab persoalan itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan bahawa kerajaan sentiasa menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam industri pertahanan negara.
Menurutnya, kerajaan sentiasa terbuka dan menerima syarikat selagi keupayaan dan produk yang ditawarkan memenuhi spesifikasi ATM serta berdaya tahan secara komersial.
“Ada syarikat yang dibuka bukan hanya untuk memenuhi keperluan ATM. Jumlah permintaan sedia ada tidak mencukupi untuk menjamin daya tahan syarikat sepenuhnya. Justeru, banyak kilang dibuka juga bagi menembusi pasaran antarabangsa,” ujarnya lagi,
Tambah beliau, kerajaan tidak menyekat pelaburan baharu dalam sektor pertahanan, malah menyambut baik persaingan sihat yang mampu memperkukuh ekosistem industri pertahanan tempatan secara menyeluruh.-airtimes.my
#pertahanan #airtimes #Malaysia #DewanRakyat #ATM