Home Pertahanan dan Keselamatan Amerika Syarikat serah jet pejuang F-16V pertama kepada Taiwan

Amerika Syarikat serah jet pejuang F-16V pertama kepada Taiwan

A+A-
Reset

GREENVILLE, 31 MAC – Taiwan secara rasmi menerima jet pejuang F-16 C/D Block 70/72 (Viper) yang pertama daripada pesanan 66 pesawat dalam satu majlis penyerahan di Greenville, Carolina Selatan, Amerika Syarikat.

 Penyerahan ini menandakan permulaan kepada peningkatan kekuatan udara Taiwan di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak dengan China.

Jet pejuang F-16C/D Block 70 dihasilkan oleh Lockheed Martin dan dikuasakan oleh enjin GE Aerospace F110. Penghantaran keseluruhan 66 pesawat dijadualkan selesai pada akhir tahun 2026 mengikut perjanjian bernilai berbilion dolar yang diluluskan pada 2019 ketika pentadbiran pertama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Penyerahan jet pejuang ini telah dikongsikan oleh ahli kongres William Timmons pada Jumaat lalu.

Penyerahan ini turut dilihat sebagai langkah strategik Amerika Syarikat dalam memperkukuhkan hubungan pertahanan dengan Taiwan di tengah-tengah ancaman yang semakin meningkat daripada China.

Wabak COVID-19 yang melanda dunia sebelum ini telah melewatkan penyerahan jet pejuang ini kepada Taiwan berikutan impak kepada rantaian bekalan.

Menurut Kementerian Pertahanan Taiwan, penambahan pesawat F-16V yang canggih ini bukan hanya sekadar peningkatan teknologi tetapi juga simbol keteguhan hubungan antara Washington dan Taipei.

F-16V dianggap sebagai versi paling moden dari keluarga pesawat tempur F-16. Ia dilengkapi dengan radar APG-83 AESA (Active Electronically Scanned Array), yang membolehkan pengesanan dan pengesanan sasaran dengan lebih tepat dalam pelbagai keadaan cuaca.

Selain itu, ia turut dipertingkatkan dengan komputer misi yang lebih berkuasa, paparan kokpit canggih, serta sistem perang elektronik yang lebih maju. Rangka pesawat ini juga dipertingkatkan bagi menambah jangka hayat operasinya kepada 12,000 jam penerbangan, lebih 50 peratus daripada model-model terdahulu.

Penghantaran pesawat tempur ini juga penting dalam menghadapi ancaman Tentera Udara China (PLAAF) yang semakin kerap melakukan latihan ketenteraan berhampiran Taiwan. Pada akhir tahun 2024, China telah menghantar sejumlah 153 pesawat dalam satu hari ke kawasan sekitar pulau itu sebagai sebahagian daripada siri latihan yang dianggap sebagai ancaman.

Taiwan dijangka menerima semua pesawat ini menjelang 2026 dan penambahan F-16V ini bakal mengukuhkan keupayaan pertahanan negara tersebut dalam menghadapi sebarang potensi ancaman dari China. – airtimes.my

#AirTimes #TeknologiPertahanan #F16V

Leave a Reply