PUTRAJAYA, 18 Sept – Laksamana Muda Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah secara rasmi dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) baharu.
Maritim Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah yang ketujuh berkuatkuasa semalam.
Sebelum menyandang jawatan itu, beliau merupakan Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia.
Berpengalaman hampir tiga dekad dalam bidang keselamatan maritim, Mohd Rosli memiliki kepakaran dalam merancang pelaksanaan operasi maritim.
Khususnya dalam menangani isu jenayah rentas sempadan seperti kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), penyeludupan dadah dan kontraban serta rompakan di laut.
Antara kejayaan terbesar di bawah kendalian beliau ialah OPS PELANTAR MERAH yang menghasilkan tangkapan berprofil tinggi.
Ini sekali gus mengurangkan kadar jenayah di sekitar pelantar minyak di perairan negara.
Terbaru, beliau sedang mengetuai perancangan bagi membangunkan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) di perairan Sarawak dan Pantai Timur Semenanjung.
Usaha ini untuk dalam meningkatkan kebolehcapaian radar bagi mengawasi semua jenis pergerakan bot atau kapal mencurigakan di perairan negara khususnya di Laut
China Selatan.
Sepanjang perkhidmatan, Mohd Rosli pernah menyandang pelbagai jawatan penting termasuk Pengarah Maritim Selangor, Pengarah Perisikan Maritim Malaysia, Pengarah Perancangan Strategik Maritim Malaysia, Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Beliau juga pernah menjawat sebagai Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim Malaysia.
Melalui pelantikan ini, beliau diharap dapat membawa sinergi baharu dalam memperkasakan lagi peranan Maritim Malaysia sebagai agensi utama dalam menguatkuasakan undang-undang serta menyelamat nyawa dan harta benda di laut
demi kesejahteraan perairan negara.
Mohd Rosli juga merupakan graduan Universiti Teknologi Mara dan ditauliahkan sebagai pegawai muda dalam Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Darat pada tahun 1997.
Sebelum ini sejak Mac 2023, Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim dilantik sebagai pemangku Ketua Pengarah agensi penguatkuasa tersebut.
Beliau memangku tugas bagi menggantikan Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som yang bersara wajib.-airtimes.my
#APMM #KetuaPengarah #Rosli #keselamatan #maritim #airtimes