Home Pertahanan dan Keselamatan Raptai penuh Perarakan Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong lancar

Raptai penuh Perarakan Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong lancar

by Bernama

PUTRAJAYA, 12 Sept – Raptai penuh Perarakan Panji-Panji sempena sambutan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Dataran Pahlawan Negara, Presint 1, di sini hari ini berjalan lancar.

Seramai 25 pegawai dan 503 anggota lain-lain pangkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang diketuai Pegawai Memerintah Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Kolonel Muhammad Firdaus Sa’ad, mengambil bahagian dalam raptai tersebut sebagai persediaan untuk acara sebenar yang akan berlangsung pada Sabtu ini.

Lima Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong akan diarak Sabtu ini, iaitu Panji-Panji Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Panji-Panji Tentera Udara Diraja Malaysia.

Panji-Panji tersebut adalah anugerah Yang di-Pertuan Agong yang disanjung tinggi oleh setiap anggota Rejimen Askar Melayu Diraja. Ia menjadi simbol taat setia dan sentiasa menjadi dorongan dalam perjuangan mereka mempertahankan kemerdekaan serta kedaulatan negara.

Panji-Panji merupakan satu penghormatan dan lambang kemegahan, semangat serta ketaatsetiaan yang tidak berbelah bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terhadap Raja dan negara.

Antara acara istiadat pada Sabtu ini ialah tembakan kehormatan 21 das, yang akan disempurnakan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) yang diketuai oleh Mejar Hafizan Mat Ghani.

Acara diteruskan dengan formasi terbang lintas hormat lima pesawat helikopter yang membawa lima bendera iaitu Jalur Gemilang, ATM, Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang diketuai Mejar Mohd Fazruzaman Md Faril dari Skuadron 10 TUDM.

Antara pimpinan yang dijangka menghadiri istiadat perarakan Panji-Panji itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, serta Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Istiadat bersejarah itu juga akan disaksikan oleh duta luar negara untuk memperlihatkan ATM sebagai pasukan yang boleh dipercayai, taat dan sedia berjuang untuk raja dan tanah air.- Bernama

Related Articles

Leave a Reply