SEMPORNA, 15 Ogos – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengambil beberapa inisiatif bagi meningkatkan usaha pengukuhan semangat patriotisme dalam kalangan warga ATM dan penduduk di daerah ini terutamanya komuniti pulau.
Program kenegaraan dalam kalangan penduduk di pantai timur Sabah yang julung kali diadakan telah memilih Pulau Bum Bum, Pulau Mabul, Pulau Menampilik, Pulau Mataking dan Pulau Danawan sebagai lokasi yang pertama pada tahun ini.
Pegawai Staf 1 Operasi, Kor Risik Diraja (KRD), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Kolonel Shahrin Lizar Saad berkata, program ini diadakan untuk memupuk semangat patriotisme dikalangan penuntut-penuntut sekolah yang berada di pantai timur Sabah.
Menurutnya, program yang diadakan bersempena dengan bulan kemerdekaan ini adalah untuk mengeratkan lagi hubungan antara tentera dan penduduk di kawasan maritim yang berada jauh dari tanah besar.
“Pada kali ini, kami (ATM) telah memilih Sekolah Terusan Baru ini untuk mengadakan program yang pertama kali diadakan pada tahun ini,
“Ia juga bersempena sambutan Hari Kebangsaan yang diadakan di peringkat sekolah ini. Sekali gus ia dapat menyemarakkan lagi semangat kenegaraan di sekolah ini,” katanya kepada Air Times.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Madani Jiwa Merdeka di Sekolah Kebangsaan (SK) Terusan Baru Semporna, hari ini.
Mengulas lanjur, Shahrin berkata, program ini adalah salah satu pengisian yang dianjurkan oleh ATM sempena menyambut Hari Kebangsaan 2024.
Jelasnya, sambutan itu adalah sangat signifikan kepada semarak dan penghayatan nilai-nilai kemerdekaan sebagai rakyat yang berdaulat.
“Pada progam hari ini kita dapat lihat, sambutan sangat menggalakkan di mana kita lihat murid-murid sangat teruja dengan kehadiran anggota tentera yang berada jauh di Kuala Lumpur, sanggup datang ke kawasan pantai Timur Sabah,
“Ia secara tidak langsung dapat menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan sempena program yang bertemakan Program Madani Jiwa Merdeka pada tahun ini,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Guru Besar SK Terusan Baru Semporna, Budlaji Tianjji berkata, pihaknya sangat bersyukur kerana ATM memilih sekolah ini sebagai lokasi program kenegaraan buat kali pertama.
Katanya, program yang diadakan pada kali ini amat luar biasa bagi sekolah tersebut kerana ia adalah julung kali yang diadakan di sekolah ini.
“Sambutan ini bukan sahaja simbolik mengenang jasa para pejuang kemerdekaan, tetapi sebagai platform untuk menanam semangat patriotisme dalam setiap jiwa warga sekolah terutamanya murid-murid,
“Saya mengambil contoh dengan mengibarkan Jalur Gemilang itu dapat menyemarakan dan menaikan lagi cinta kepada tanah air kita ini agar sentiasa menghormati dan mengekalkan kemerdekaan ini
“Dengan pelaksanaan kuiz dan ceramah kenegaraan tadi secara tidak langsung dapat memperingati sejarah-sejarah Melayu tentang betapa pentingnya kemerdekaan dan perjuangan selama ini yang patut kita kekalkan sampai bila-bila,” ujarnya.
Tambhanya, generasi muda perlu diberikan peringatan bahawa kemerdekaan yang dikecapi ini bukannya datang dengan mudah, sebaliknya hasil pengorbanan para pejuang dan pemimpin dahulu.
Terdahulu, seramai 25 orang pegawai dan anggota ATM bersama-sama dengan 200 orang penduduk yang terdiri daripada ketua kampung, ahli jawatan kuasa kampung, para guru, pelajar dan penduduk setempat terlibat di dalam pelbagai acara kenegaraan yang diadakan bermula semalam dan berakhir petang ini.
Antara aktiviti, termasuk memasang Jalur Gemilang di sekitar kawasan tumpuan dan perumahan, selain beberapa program khas di Sekolah Kebangsaan Terusan Baru di Pulau Bum Bum.
Ia membabitkan acara keramaian seperti taklimat, nyanyian lagu dan tayangan filem kenegaraan, pertandingan kuiz warisan negara serta permainan tradisi tempatan.-airtimes.my