Sebuah galeri yang merakam sejarah dan catatan pengorbanan serta perjuangan pasukan keselamatan dicadang untuk dibuka, yang mana ia dapat meniupkan semangat patriotik.
Bukan sebuah galeri biasa, sebaliknya cadangan tersebut adalah untuk mewujudkan Galeri VAT 69 atau 69 Komando yang mempunyai banyak sejarah kejayaan yang besar.
Dicadang dibuka di Lenggong, Perak, ia merupakan lokasi yang sangat sinonim dengan pasukan itu sendiri.
Lokasi tersebut dipilih kerana daerah Lenggong dan Hulu Perak antara kawasan yang mempunyai nilai sejarah tempat pertempuran pasukan terbabit ketika memerangi pengganas komunis.
Ini kerana semasa awal penubuhan pada tahun 1969, tim perintis pasukan ini telah dilatih jurulatih dari United Kingdom Special Air Service Regiment di Fort Kemar, Grik.
Cadangan ini disuarakan semasa Program Warisan dan Pelancongan Patriotik Lenggong 2024 di Dewan Merdeka, Lenggong.
Program yang julung-julung kali diadakan ini
dianjurkan oleh Amazing Camp Legacy dengan kerjasama Tourism Perak.
Amazing Camp Legacy merupakan pengendali sebuah tapak perkhemahan di sini yang dikendalikan oleh bekas-bekas anggota VAT 69 Komando.
Pengasas kem, Dato’ Abd Rashid Harun yang merupakan bekas pegawai pasukan tersebut juga Yang Dipertua Persatuan Veteran VAT 69 Komando.
Bercakap kepada pemberita, Abd Rashid berkata, penubuhan galeri khusus itu penting untuk merakam dan mempamerkan kisah pasukan tersebut kepada masyarakat.
“Pada saya penting sebab bila ada galeri mesti ada penjagaan, penyelenggaraan. Kalau kita letak di tempat yang tidak ada orang yang hendak menjaga (kurang praktikal), sebaliknya kami ada kem di sini (Amazing Camp Legacy).
“Kem ini hidup dan bukannya kem yang tidak aktif dengan pelbagai aktiviti. Saya percaya perkampungan survival di sini akan menjadi tarikan yang terbaik
“Jadi kalau ada veteran dekat sini menjalankan aktiviti sudah pastinya mudah untuk menjaga galeri itu tanpa kita perlu melantik pihak lain.
“Petugas-petugas di sini yang juga merupakan veteran VAT 69 Komando boleh menjaganya,” ujar beliau.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa pula memberitahu cadangan tersebut telah disuarakan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
“Memang ada rancangan semasa lawatan Menteri Besar ke reruai, memang ada cadangan untuk mempertimbangkan pembunuhan galeri khusus untuk VAT 69.
“Kita perlu perbincangkan secara teliti antara pihak berkepentingan termasuk veteran VAT 69.
“Ia menjadi elemen penting juga sebab Lenggong dalam proses jadikan Global Lenggong. Dengan ada penilaian pada elemen status ini menjadikan Global Lenggong lagi menarik,” jelas beliau.
Nama wira-wira VAT 69 Komando juga subur dalam sejarah perjuangan mereka seperti Allahyarham ASP Mohd Zabri Abdul Hamid, penerima darjah kepahlawanan Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan terkorban akibat terpijak jerangkap samar pada 1975.
Bekas Deputi Komisioner, Abdul Razak Mohd. Yusoff, mantan Komander VAT 69 juga dianugerahkan SP atas keberanian semasa insiden di Bukit Jenalek, Gerik.
Begitu juga penjejak lagenda VAT 69,.Sarjan Mejar Apot Saat menerima Pingat Gagah Berani (PGB) semasa menentang pengganas komunis
Kpl Mohd. Tarmizi Hashim pula dianugerahkan PGB semasa Op Sulu bertempur dengan Tentera Diraja Kesultanan Sulu yang menceroboh Kampung Tanduo pada tahun 2013.