Home Pertahanan dan Keselamatan TLDM, APMM komited laksana pengawasan kekang ancaman di Laut China Selatan

TLDM, APMM komited laksana pengawasan kekang ancaman di Laut China Selatan

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 30 Jul – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terlibat secara langsung dalam mengawasi projek pembangunan carigali termasuk eksplorasi minyak serta gas oleh PETRONAS terutamanya di kawasan Laut China Selatan (LCS).

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu penyataan jawapan lisan di Parlimen.

Menurutnya, TLDM dan APMM kekal komited dalam melaksanakan rondaan dan pengawasan di LCS.

Tindakan itu bagi memastikan kesedaran domain maritim atau Maritime Domain Awareness (MDA) sentiasa berada pada tahap tertinggi serta kedaulatan Zon Maritim Malaysia (ZMM) sentiasa terpelihara daripada sebarang ancaman anasir luar.

“Kementerian mengambil pendekatan secara keseluruhan kerajaan (Whole of Government) melalui kerjasama erat dengan pelbagai agensi dan pihak berkepentingan bagi memastikan keselamatan dan keamanan perairan Malaysia sentiasa terpelihara.

“Antara agensi yang terlibat adalah seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Peguam Negara,” katanya bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh
Senator Amir Md Ghazali.

Terdahulu, Amir mengemukakan soalan kepada Menteri Pertahanan berhubung langkah dan usaha bagi mengekang pencerobohan kapal negara asing yang mungkin akan menganggu gugat hasil bumi negara memandangkan PETRONAS telah mengumumkan bahawa terdapat lebih banyak telaga minyak baru ditemui di pesisir laut Sarawak.

Mengulas lanjut, Khaled berkata, pihaknya juga mengambil pendekatan secara keseluruhan masyarakat (Whole of Society) bagi mengumpul maklumat terutamanya di kalangan komuniti maritim seperti nelayan dan pelaut yang menjadi mata serta telinga bagi melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan di perairan negara.

“Sebagai contoh, penahanan kapal MV CHUAN HONG 68 (Kapal Korek dari China) pada 2 Julai 2024 adalah hasil pelaporan daripada hasil Inisiatif Bertukar Maklumat (IBM) dari nelayan tempatan yang melalui kawasan berkenaan sehingga membolehkan pihak TLDM dan APMM mengambil tindakan serta-merta ke atas kapal tersebut,” jelasnya lagi. -airtimes.my

#airtimes #pertahanan #TLDM #APMM #LautChinaSelatan

Leave a Reply