Home Pertahanan dan Keselamatan Ancaman keganasan di Asia Tenggara bersifat sederhana rendah – Ahmad Zahid

Ancaman keganasan di Asia Tenggara bersifat sederhana rendah – Ahmad Zahid

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 12 Jul – Ancaman keganasan masih wujud di rantau Asia Tenggara namun ia bersifat sederhana rendah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi walau bagaimanapun berkata, Malaysia secara khusus adalah destinasi transit popular bagi Pejuang Pengganas Asing (FTF) untuk melancarkan serangan di kawasan lain.

“Kebanjiran warga asing dari rantau Asia Tengah, Asia Selatan dan Afrika turut menjadi punca kepada perkembangan aktiviti keganasan di Malaysia,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Kawalan Keganasan pada Khamis.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerajaan turut memantau situasi terkini berkaitan risiko ancaman keganasan oleh kumpulan pengganas seperti Daesh dan Jemaah Islamiyah selain bekerjasama dengan pasukan keselamatan negara jiran.

Menurutnya, langkah ini bertujuan membendung dan mengenal pasti individu yang disyaki terlibat dengan aktiviti keganasan sama ada warga Malaysia atau warga asing.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid juga berkata, kerajaan secara konsisten melaksanakan proses deradikalisasi dan rehabilitasi ke atas individu-individu yang terlibat dengan aktiviti keganasan.

“Sejak Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA digunakan seramai 565 individu ditahan dengan 368 daripada mereka adalah warga tempatan,

“Sementara itu, antara tahun 2013 hingga 2020, seramai 559 individu telah ditangkap manakala bakinya adalah pasca COVID-19 dan statistik itu jelas menunjukkan penurunan intensiti aktiviti keganasan di Malaysia susulan pandemik berkenaan,” jelasnya lagi.

Beliau berkata, dari segi Indeks Keganasan Global, Malaysia telah menunjukkan prestasi lebih baik dalam menangani keganasan dengan melonjak daripada kedudukan ke-68 daripada 163 negara pada 2022 kepada tangga ke-75 pada 2023.

Manakala, dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia kekal di kedudukan kelima daripada 10 negara dengan mengambil kira jumlah insiden, kematian, kecederaan, tebusan dan nilai kerosakan.

“Walaupun keganasan bukanlah isu utama keselamatan negara pada masa ini berdasarkan indeks keselamatan global, perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan dan virus ditaksir berpotensi dieksploitasi oleh elemen-elemen keganasan sama ada secara bersendirian atau berkumpulan,” jelasnya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau turut menzahirkan komitmen kerajaan untuk tidak berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana warganegara atau bukan warganegara yang berniat untuk mengancam keselamatan negara selain menentang keras sebarang bentuk keganasan.-airtimes.my

#keselamatan #airtimes #Malaysia #KDN

Leave a Reply