Home Pertahanan dan Keselamatan MINDEF sasar salur geran SPKLB kepada 200 usahawan veteran tahun ini

MINDEF sasar salur geran SPKLB kepada 200 usahawan veteran tahun ini

by Nurulhuda

MUAR, 22 Jun – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyasarkan untuk menyalurkan geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) kepada 200 usahawan veteran angkatan tentera tahun ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, SPKLB ialah kerjasama di antara MINDEF melalui Perbadanan Hal Ehwal Angkatan Tentera (PERHEBAT) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA).

“Kita memilih dalam kalangan veteran kita, usahawan dalam pelbagai bidang untuk menerima geran bantuan (SPKLB) daripada KKDW sebanyak RM5,000 setiap seorang,” katanya seperti dilapor Bernama.

Beliau berkata demikian selepas Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM), hari ini.

Ujarnya, keusahawanan menjadi tumpuan MINDEF kerana hampir 80 peratus peserta yang menjalani kursus di Perhebat sebelum bersara dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memilih bidang keusahawanan.

Menurutnya, MINDEF juga bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan kementerian yang lain untuk menyediakan peluang pendapatan baharu selain keusahawanan kepada veteran angkatan tentera selepas bersara.

Terdahulu, Adly menyampaikan geran SPKLB kepada 20 usahawan veteran ATM negeri Johor.

Menerusi PUVET ATM, veteran turut menikmati manfaat seperti pemadanan perniagaan atau ‘business matching’, akses terus kepada insentif keusahawanan seperti kemudahan, latihan dan konsultansi dalam aspek pembungkusan, penjenamaan dan pemasaran.

Program berkenaan memfokuskan kepada pemerkasaan veteran dalam kerjaya kedua khususnya keusahawanan bagi membantu mereka dalam kelompok B40 meningkatkan taraf hidup masing-masing.

PUVET ATM juga berperanan sebagai pemudah cara dan penghubung untuk mengenal pasti dan menyalurkan insentif keusahawanan merangkumi khidmat kepakaran, kemudahan, geran dan latihan yang diperlukan oleh usahawan veteran ATM untuk memajukan perniagaan. -airtimes.my

#pertahanan #veteranATM #PUVETATM #Perhebat #airtimes

Related Articles

Leave a Reply