Home Pertahanan dan Keselamatan Perkasakan keupayaan TUDM untuk hadapi ancaman masa kini

Perkasakan keupayaan TUDM untuk hadapi ancaman masa kini

by Wazien Zamri

KUANTAN, 1 JUN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar pihak TUDM terus memperkasakan tahap kecekapan serta kesiagaan dalam mempertahankan kedaulatan negara ini.

Tambahan pula, ancaman yang dihadapi semakin rumit berikutan perkembangan teknologi dunia moden.

Baginda bertitah demikian ketika mencemar duli berangkat ke Perbarisan Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)ke-66 di Pangkalan Udara Kuantan, pagi hari ini.

“Adalah penting bagi kita untuk terus meningkatkan keupayaan dan kesiap-siagaan dalam mempertahankan kedaulatan negara,

“Perkembangan teknologi dan ancaman baru dunia hari ini, menuntut kita untuk sentiasa berinovasi dan memperkukuhkan keupayaan pertahanan”, titah baginda.

Baginda yang juga merupakan Kolonel Yang Di-Pertua TUDM bertitah mengenai angkatan udara itu yang pada awalnya bermula sebagai sebuah pasukan bantuan sebelum mengorak langkah dan berkembang maju membina struktur pentadbiran yang kukuh, mencapai kemajuan teknologi dan pemilikan aset.

“Anjakan paradigma ini adalah refleksi positif kepada usaha berterusan TUDM dalam memastikan  sayap pertahanan negara ini kekal relevan dalam menghadapi cabaran keselamatan udara moden.”

Perkara ini selari dengan tema Sambutan Hari Ulang Tahun ke-66 yang diangkat pada tahun ini iaitu, Kuasa Udara, Perisai Kedaulatan Negara.

“Pasukan yang sentiasa terbang tinggi di angkasa raya ini; bukan sahaja sebuah angkatan udara; tetapi juga adalah simbol keberanian; integriti; dan dedikasi”, titah baginda lagi.

Khidmat dan operasi pihak TUDM bukan sekadar tertumpu kepada pertahanan udara semata-mata tetapi mereka juga merupakan tonggak penting dalam kerjasama memastikan kesejahteraan zon maritim serta darat di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan

Related Articles

Leave a Reply