Home Pertahanan dan Keselamatan Isu penyelarasan pencen: MINDEF tunggu keputusan Mahkamah Rayuan

Isu penyelarasan pencen: MINDEF tunggu keputusan Mahkamah Rayuan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyerahkan isu penyelarasan pencen pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berpencen sebelum 1 Januari 2013 kepada Mahkamah Rayuan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berharap, berkata, isu penyelarasan pencen itu bukan sahaja membabitkan pesara ATM, tetapi juga bekas hakim dan bekas kakitangan awam kerajaan.

“Ini soal dasar, apabila melibatkan gaji dan pencen kita tertakluk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Perbicaraan di Mahkamah Rayuan berhubung isu ini akan bermula Januari tahun depan, jadi kita lihat keputusan mahkamah,

“Bagaimanapun, ketiga-tiga golongan berkenaan telah mengemukakan saman secara berasingan terhadap kerajaan Malaysia membabitkan perkara sama di mahkamah,

“Apa pun, kita tidak mahu penyelarasan pencen bagi bekas hakim lain, tentera lain dan kakitangan kerajaan lain, kerana ia merupakan benda yang tidak sihat. Undang-undang taksiran mahkamah pun tidak akan berbeza sebab melibatkan kes sama,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM), i Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, anggota yang pencen selepas tahun 2013 tak ada isu, isu penyelarasan pencen timbul kepada anggota yang bersara sebelum 2013.

“Di peringkat tentera, mereka telah pergi ke Mahkamah Tinggi dan berjaya, jadi Pejabat Peguam Negara merayu.

“Di peringkat kakitangan kerajaan mereka telah pergi ke semua peringkat ada yang berjaya dan ada yang tidak berjaya. Di peringkat hakim, Mahkamah Rayuan pada 7 Mei lalu bersetuju dengan saman dibawa bekas hakim.

“Atas sebab itulah kita kena tunggu. Saya nyatakan ia bukan membabitkan Menteri Pertahanan sahaja tetapi libatkan banyak pihak terutama Jabatan Peguam Negara yang mahukan ada muktamad. Libatkan bekas hakim, bekas kakitangan kerajaan dan sebagainya,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 50 pesara ATM berpangkat Mejar, Leftenan Kolonel, Staf Sarjan dan Prebet memfailkan saman itu pada 17 November 2022 dan menamakan kerajaan, Perdana Menteri, Menteri Kanan Pertahanan serta Majlis Angkatan Tentera sebagai defendan.

Menerusi saman itu, plaintif memohon pengisytiharan bahawa defendan memungkiri peruntukan di bawah Perkara 137 atau Perkara 8 Perlembagaan dibaca bersama Seksyen 187 Akta Angkatan Tentera Malaysia dalam kegagalan masing-masing untuk melakukan penyelarasan pencen baharu untuk pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013.

Mereka juga memohon pencen semua pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013 diselaras mengikut kadar dan cara sepertimana pencen pesara ATM selepas 1 Januari 2013 dan seterusnya, dengan keperluan untuk meminda Peraturan Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran dan Faedah-Faedah Lain) bagi dimasukkan peruntukan perihal penyelarasan pencen yang baharu seperti diperintahkan oleh mahkamah.

Mereka mendakwa ketidak penyelarasan pencen itu merupakan satu pelanggaran hak-hak asasi yang dijamin oleh Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan selain mendakwa mereka terkilan dengan ketidakpenyelarasan pencen berkenaan.

Plaintif turut mendakwa disebabkan ketidakpenyelarasan pencen itu, berlaku jurang yang ketara antara pesara ATM terbabit dengan mereka yang bersara selepas 1 Jan 2013.

Tambahnya, jurang itu turut menafikan hak pesara terbabit untuk menikmati pencen atau kenaikan yang sama dengan pesara ATM lain dan ia merupakan satu perlanggaran hak asasi di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. -airtimes.my

#pertahanan #pencen #veteranATM #MINDEF #airtimes

Related Articles

Leave a Reply