TEGUCIGALPA, 24 APR – Kementerian Pertahanan Honduras telah meterai perolehan dua buah helikopter H145 dari Airbus.
Ia merupakan hasil daripada pesanan awal yang telah ditandatangani mereka pada tahun 2023 dan bakal diperoleh sebelum penghujung tahun ini.
Perkara ini dimaklumkan menerusi satu kenyataan dari Airbus.
Helikopter bakal diperoleh tersebut akan dioperasi oleh Tentera Udara Honduras untuk mengangkut penumpang atau kargo, operasi mencari dan menyelamat, memadam kebakaran, pemindahan perubatan serta pelaksanaan misi penting lain di negara itu.
Menteri Pertahanan Honduras, José Manuel Zelaya berkata, helikopter moden pelbagai guna itu akan melengkapkan dan menampung keperluan mereka bahkan ia dapat digunakan sehingga tempoh 30 tahun akan datang.
Tambahan pula dengan kedudukan geografi mereka yang mudah terjejas oleh taufan, bencana alam serta kebakaran membuatkan mereka amat memerlukan helikopter yang berupaya untuk melakukan pelbagai tugas ketika berdepan bahaya.
Jelasnya lagi, mereka akan mempunyai sejumlah enam buah H145 pada tahun akan datang yang bersedia untuk digunakan bagi menjaga keselamatan penduduk ketika menghadapi bencana.
“Penduduk juga akan merasa lebih selamat dengan kewujudan helikopter moden yang dioperasikan oleh Tentera Udara Honduras dalam membantu dan melindungi mereka dari bencana yang sering melanda, tambah beliau lagi”.
H145 yang berupaya menampung beban sehingga 150kg dapat memberikan keselesaan yang lebih baik kepada penumpang dan anak kapal. Helikopter ini dapat beroperasi dengan cemerlang dalam cuaca dan keadaan yang panas menjadikannya ideal untuk melaksanakan misi memadam kebakaran.
Selain itu, H145 dapat beroperasi dan mendarat dalam luas kawasan yang terhad kerana binaan fiuslajnya yang padat.
Helikopter ini dapat dianggap sempurna berdasarkan kesediaannya untuk terbang dan ketahanan terhadap pelbagai keadaan cuaca. Ia hanya memerlukan beberapa minit sahaja untuk berlepas sekiranya berlaku kecemasan. – airtimes.my
#AirTimes #Airbus #TeknologiPertahanan