Home Pertahanan dan Keselamatan Perbincangan pembinaan ICQS Bukit Berapit baharu di Pengkalan Hulu kini pada fasa akhir

Perbincangan pembinaan ICQS Bukit Berapit baharu di Pengkalan Hulu kini pada fasa akhir

by Zaki Salleh

GERIK, 18 APR –  Proses bagi merancang pembinaan  Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit yang baharu di Pengkalan Hulu kini pada fasa berikutnya yang bakal diperincikan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan negeri Perak akan memutuskan segala perkara berkaitan menerusi perbincangan yang bakal diadakan bulan depan.

Ketika ini perbincangan tertumpu kepada beberapa perkara membabitkan lokasi, keluasan serta kos pembinaan.

Perkara tersebut dimaklumkan Timbalan Menteri KDN, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Jelas beliau, KDN secara dasarnya bersetuju manakala proses perbincangan masih berjalan antara kementerian tersebut dan kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri.

“Antara tumpuan adalah tentang beberapa lokasi ditawarkan kerajaan negeri di sekitar pintu sempadan.

“Jadi, saya percaya usaha-usaha sedang dibuat dengan lebih berkesan,” katanya.

Shamsul Anuar berkata demikian pada sidang media semasa hadir pada majlis ramah mesra bersama warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu dan pesara polis.

Cadangan untuk memindahkan lokasi CIQ di sini telah dipersetujui KDN pada pada tahun lepas berikutan kedudukannya yang jauh dari pintu sempadan.

Dengan jarak kira-kira 700 meter dari pintu sempadan, kedudukan sedia ada ini dilihat tidak lagi relevan selain menyukarkan dalam aspek pengurusan.

Justeru, pembinaan ICQS yang baharu dilihat  langkah tepat dan pada masa sama memperkemaskan lagi kawalan mengekang jenayah rentas sempadan.

Selain kompleks ICQS, penugasan keselamatan dan pemantauan di sempadan Pengkalan Hulu – Betong, Thailand mempunyai tembok sepanjang 12 kilometer (km) dan pagar kawat duri 11.4km.

Ia turut membabitkan pos kawalan keselamatan Angkatan Tentera Malaysia.

Orang ramai yang ingin memasuki kawasan sempadan perlu melalui sekatan jalan raya di ICQS Bukit Berapit, Pengkalan Hulu yang turut dibantu Batalion 18 Pasukan Gerakan Am Senoi Praaq.

Sebelum ini juga keadaan laluan di sekitar ICQS  Bukit Berapit, Pengkalan Hulu dibahaskan pada Sidang Dewan Undangan Negeri Perak tahun lalu kerana dikatakan suram dan kurang pencahayaan.

Ia dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim.

Situasi ini katanya boleh memberi gambaran negatif kepada pelancong asing dan pada masa sama menghidupkan aktiviti di kawasan pintu sempadan. – airtimes.my

#AirTimes #Sempadan #KDN

Related Articles

Leave a Reply