Home Pertahanan dan Keselamatan Rumah SASaR ATM Sungai Besi dijangka siap penghujung tahun 2025 – Khaled Nordin

Rumah SASaR ATM Sungai Besi dijangka siap penghujung tahun 2025 – Khaled Nordin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Apr – Projek Perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Sungai Besi yang melibatkan pembinaan 3,500 unit rumah dijangka siap pada hujung tahun depan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerja pembinaan yang bermula 21 hari lebih awal daripada jadual kini mencapai 65.51 peratus.

“Seperti kita sedia maklum soal perumahan bagi anggota tentera adalah perkara yang diberi tumpuan dan penekanan bagi kerajaan, antaranya program perumahan yang dilaksanakan Kementerian Pertahanan (MINDEF),

“Jadi, saya ingin melihat sejauh mana kerja pembinaan dilaksanakan,” katanya selepas mengadakan Lawatan Tapak Perumahan Projek SASaR Sungai Besi, pada Selasa.

Mohamed Khaled berkata, kerja-kerja pembinaan 2 lagi pembinaan projek pembinaan SASaR ATM di Kem Wardieburn dan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Setapak, dijangka bermula pada Julai ini.

Selain itu, beliau turut menjelaskan, pihaknya juga dalam perancangan untuk memperluaskan projek SASaR ke negeri-negeri lain berdasarkan kepada permintaan dan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Memang ada permintaan di negeri lain. Kita akan buat kajian pasaran, (mungkin) kita tidak bina sebanyak seperti di sini, saya percaya bergantung permintaan dan sebagainya, kenal pasti tapak yang sesuai sebelum boleh dilaksanakan projek dan pembinaan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, MINDEF dalam kenyataan memaklumkan, secara keseluruhannya, sebanyak 10,874 unit rumah akan tersedia melalui 3 Projek Perumahan SASaR ini.

“Pasukan Projek SASaR akan terus mempergiatkan promosi kepada pegawai, anggota, veteran dan awam MINDEF melalui road tour mulai Mei hingga Disember 2024 di Markas-markas Formasi dan pasukan setempat di seluruh Negara,” jelas kenyataan itu. -airtimes.my

#pertahanan #rumahSASar #ATM #kebajikan #airtimes

Related Articles

Leave a Reply