Home Pertahanan dan Keselamatan MINDEF kaji wujudkan ketumbukan baharu ATM, tumpu domain siber dan elektromagnetik

MINDEF kaji wujudkan ketumbukan baharu ATM, tumpu domain siber dan elektromagnetik

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang mengkaji kesesuaian dan keperluan untuk mempunyai perkhidmatan keempat di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menumpukan secara khusus kepada domain siber dan elektromagnetik pertahanan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembangunan perkhidmatan keempat tersebut adalah sebagai persediaan Angkatan Masa Hadapan (AMH) dalam menangkis ancaman bukan tradisional serta pencerobohan ruang siber kerajaan.

Menurutnya, kementerian akan memberi penumpuan kepada pembangunan keupayaan atau kepakaran domain siber dan elektromagnetik yang menjadi tonggak kepada pertahanan komprehensif berasaskan teknologi.

“Ia termasuklah memperkukuhkan perisikan pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM); membangunkan keupayaan Aktiviti Elektromagnetik Siber (Cyber Electromagnetic Activities, CEMA),

“Meningkatkan keupayaan perisikan, pengawasan, perolehan sasaran dan peninjauan (Intelligence, Surveillance, Target Acquisition and Reconnaissance, ISTAR),

“Membangunkan Network Centric Operation (NCO), membangunkan Komunikasi Satelit (Satellite Communication, SATCOM) untuk meningkatkan keupayaan Perintah dan Kawalan Bersama,” jelasnya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Datuk Noraini Idris berkaitan kepakaran yang menjadi sandaran Angkatan Masa Hadapan dan persediaan kementerian menangkis ancaman bukan tradisional seterusnya pencerobohan ruang siber kerajaan.

Menurutnya, semasa Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan (KPP) sebelum ini, kementerian sedang meneliti beberapa perkara penting dalam pembangunan AMH termasuklah memperkemas kekuatan dan kepakaran MINDEF serta ATM.

“Ini bermakna, adalah tidak mustahil untuk selepas ini Kementerian bertindak lebih proaktif dalam merekrut para penggodam dan bakat-bakat terbaik dalam teknologi digital di luar sana untuk menganggotai pasukan pertahanan negara kita,

“Antara contoh kepakaran dan sumber manusia yang diperlukan adalah dalam bidang-bidang seperti kejuteraan komputer; teknologi siber; pentester (iaitu ujian keutuhan dan ketahanan teknologi); artificial intelligence; kriptografi (encription); Big Data dan satelit,”ujarnya lagi.

Selain itu, beliau berkata, kementerian sedang dalam proses pemerkasaan aspek-aset dan teknologi bagi memastikan keupayaan ampuh ATM.

“Kementerian sedang mengenal pasti dan menyenaraikan aspek-aspek yang diperlukan termasuklah menyediakan kekuatan sehingga sekurang-kurangnya satu skuadron,

“Perkara ini adalah satu keperluan dan trend semasa yang sudah diberikan perhatian oleh banyak negara lain. Malah, terdapat negara yang sudah mempunyai perkhidmatan khusus berkaitan digital dan intelligence services (DIS),” jelasnya.-airtimes.my

#airtimes #pertahanan #ATM #siber #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply