Home Pertahanan dan Keselamatan Perancangan, perbelanjaan pertahanan negara mesti secara berhemah – Titah Agong

Perancangan, perbelanjaan pertahanan negara mesti secara berhemah – Titah Agong

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah agar sebarang perbelanjaan dan perancangan untuk pertahanan negara mestilah dilakukan secara berhemah tanpa membelakangkan soal keselamatan.

Seri Paduka Baginda bertitah demikian semasa berkenan berangkat mengadakan lawatan rasmi ke Kementerian Pertahanan (MINDEF), hari ini.

Terdahulu, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut berkenan menandatangani buku lawatan dan bergambar kenangan.

“Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan kemudian mempersembahkan taklimat berkenaan Struktur Organisasi dan Profil Kementerian, Kertas Putih Pertahanan (KPP), Pelan Strategik MINDEF (PSM) 2021-2025,

“Selain itu, Baginda turut diberi taklimat mengenai Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN), Kekuatan Aset Strategik, Perolehan Aset Utama, Pelupusan Aset Usang dan Projek Pembangunan Utama,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).

Menurutnya, pada sesi taklimat berkenaan, Seri Paduka Baginda berkenan mengajukan pelbagai soalan serta pandangan mengenai isu-isu pertahanan negara.

Lawatan rasmi ke MINDEF ini adalah merupakan lawatan yang julung kali dizahirkan Seri Paduka Baginda ke atas organisasi Kementerian-Kementerian di Malaysia sejak menaiki takhta sebagai Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17. -airtimes.my

#pertahanan #DaulatTuanku #Mindef #airtimes

Related Articles

Leave a Reply