Home Pertahanan dan Keselamatan ACTS – Pasukan Taktikal SPRM perkasa operasi banteras rasuah

ACTS – Pasukan Taktikal SPRM perkasa operasi banteras rasuah

by Zaki Salleh

KUALA LUMPUR, 8 MAC – Umum mengetahui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan badan tunggal dan bebas yang mengendalikan kes-kes berkaitan dengan rasuah.

SPRM juga merupakan tunggak utama dalam inisiatif antirasuah di negara ini serta memperkemaskan undang-undang pencegahan rasuah.

Ia meliputi aspek-aspek hukuman mandatori, pembuktian, rampasan harta yang tidak dapat dijelaskan puncanya serta membolehkan penggunaan ‘agent provocateurs’  dalam tindakan- tindakan siasatan.

Dalam memikul tanggungjawab ini, SPRM sentiasa diperkasakan termasuklah melalui penubuhan unit khusus di dalam agensi itu sesuai dengan peranan.

Ini termasuklah melaksanakan operasi berprofil tinggi yang mana perlu membabitkan pasukan  untuk menangani sebarang ancaman dan risiko.

Operasi sebegini memerlukan pegawai dan anggota yang sentiasa cergas dan mempunyai daya ketahanan tinggi.

Bagi memastikan kesiapsiagaan tersebut, SPRM telah menubuhkan unit khas iaitu Pasukan Taktikal SPRM atau Anti Corruption Tactical Squad (ACTS) SPRM pada 5 Oktober 2023.

Kelangsungan daripada penubuhan itu, satu latihan intensif telah dilaksanakan SPRM ke atas para pegawai dan anggota yang terpilih menyertai unit berkenaan.

Kursus Advance Special Operations Training (ASOT) ini dilaksanakan bagi melahirkan sebuah skuad khas dalam menangani sebarang ancaman ketika menjalankan tugas yang berisiko tinggi.

Objektifnya adalah memberi perlindungan keselamatan kepada tugasan operasi SPRM.

SPRM membuat keputusan menubuhkan skuad khas ini selepas melihat kepada keperluan mendesak berdasarkan beberapa insiden ancaman yang berlaku.

Penubuhan unit khas ACTS SPRM juga mencatat sejarah tersendiri sejak penubuhan agensi itu yang sebelumnya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah pada 1 Oktober 1967.

Ia juga bukan bertujuan untuk menandingi pasukan lain kerana sepertimana kita sedia maklum semua agensi keselamatan di negara ini mempunyai pasukan khas masing-masing.

Antaranya Jabatan Imigresen Malaysia mempunyai Pasukan Khas Taktikal (PASTAK) dan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (COBRA –

Customs Operational Battle Force Response Assault.

Sebagai unit khas yang masih baharu ACTS SPRM memerlukan lagi latihan dan perkongsian daripada pasukan-pasukan sahabat.

Bagaimana pun, penugasan pegawai dan anggota bersenjata pada SPRM bukan baharu kerana agensi tersebut turut dibekalkan dengan senjatapi.

Malah, mereka juga berkemahiran tinggi dalam pengendalian senjata api serta kerap menjalani latihan.

Kursus ASOT ini telah dilaksanakan selama 14 hari dengan latihan bermula di lapang sasar PDRM, Kampar dan berakhir di Kompleks Latihan Tempur Jarak Dekat (CQB) 69 Komando PDRM, Ulu Kinta.

Pasukan ACTS SPRM turut mempelajari kemahiran ‘Close Quarter Combat’ dalam menyelamatkan mangsa daripada penjenayah.

Latihan sebegini penting untuk memastikan ACTS SPRM sentiasa siap siaga dan meningkatkan kemahiran serta kecekapan dari semasa ke semasa.

Pihak Air Times News Network difahamkan bahawa latihan ASOT bukan dikendalikan oleh 69 Komando atau PDRM, tetapi hanya menggunakan fasiliti milik pasukan berkenaan.

Justeru, latihan ASOT kepada ACTS SPRM oleh agensi tersebut adalah mengikut kehendak dan keperluan operasi SPRM kerana fungsinya bukanlah sepertimana pasukan elit atau unit khas PDRM.

Pada akhir kursus, seramai 18 pegawai SPRM telah ditauliah dengan dipakaikan beret dan penerimaan pisau keramat serta tampalan bendera Malaysia dan lencana ACTS.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Azam Baki sebagai tanda menamatkan kursus ini dengan cemerlang.

#AirTimes #Malaysia #SPRM

Related Articles

Leave a Reply