SINGAPURA, 21 FEB – Kemahiran serta kepakaran tenaga kerja Malaysia dan Singapura dijangka akan memberikan impak kepada industri aeroangkasa serantau.
Perkara tersebut dinyatakan oleh pengendali dan perancang Global Systemes Asia (GSA), Dato’ Nonee Ashirin dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas kerjasama yang dimeterai di antara GSA dengan Transfingo Group (TF-CWASM) di Pameran dan Pertunjukan Udara Singapura 2024 (Singapore Airshow 2024).
“Hari ini, kami bukan sekadar menandatangani sebuah kerjasama tetapi turut melancarkan satu kuasa yang mampu memberi impak positif kepada hala tuju industri aeroangkasa serantau,” katanya.
Kerjasama yang dimeterai pada hari kedua Singapore Airshow ini TFM-CWAS dan sekutunya, Transfingo (Malaysia) Sdn. Bhd., Transfingo Aviation Solutions Pte. Ltd. dan CW Aero Services Pte Ltd (CWAS), sebagai pembekal kejuruteraan dan peralatan ujian berinovatif tinggi, serta perwakilan MRO, untuk GSA dan anak syarikatnya, Global Component Asia Sdn. Bhd. (GCA) dan Global Turbine Asia Sdn. Bhd. (GTA).
Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Transfingo Group, Kelvin Chung menyatakan pihaknya teruja kerana dapat menjalinkan kerjasama dengan GSA.
“Kami akan berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan dalam industri penerbangan,
“Motivasi dari pasukan profesional GSA dengan kepakaran domain yang mendalam dalam industri penerbangan akan meningkatkan lagi keupayaan Transfingo di Singapura, Malaysia serta rantau ini,
“Kami menantikan hubungan dan kerjasama yang akan membuahkan hasil pada tahun mendatang,” kata Kelvin dalam kenyataan yang sama.
Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Kementerian Pertahanan Malaysia.
Menurut GSA, kerjasama dan perkongsian strategik ini menggariskan penanda aras dalam keupayaan pertahanan dan kolaborasi antarabangsa.
“Dunia kini sedang memerhati dengan penuh harapan dimana GSA dan TF-CWAS sudah bersedia untuk melonjak tinggi berasaskan kerjasama inovatif yang tiada tandingan ini,” kata kenyataan itu. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #TeknologiPertahanan #Industri #SGAirshow2024