SEOUL, 2 FEB – Sekumpulan jurutera dari Indonesia yang telah dihantar ke Korea Aerospace Industries (KAI) telah didakwa cuba membocorkan teknologi jet pejuang stealth KF-21.
Mereka telah dikesan menyimpan beberapa maklumat berkaitan teknologi kritikal dalam peranti storan mudah alih USB.
Menurut laporan media Korea Selatan yang memetik kenyataan sumber keselamatan, kumpulan jurutera tersebut telah dihalang untuk keluar dari Korea Selatan sementara siasatan sedang dilaksanakan.
“Data yang didapati disimpan adalah berkaitan radar, teknologi ujian penerbangan dan proses pembangunan,” kata laporan media Korea Selatan.
Sementara itu, agensi Yeonhap pula menyatakan kumpulan siasatan adalah terdiri daripada agensi perisikan dan kumpulan risik balas.
“Siasatan yang dijalankan akan mengenal pasti sama ada data yang disimpan mengandungi teknologi strategik,” lapor agensi itu.
KF-21 Boramae merupakan jet pejuang stealth yang dihasilkan oleh Korea Selatan. Program ini turut melibatkan Indonesia dengan komitmen pembiayaan sebanyak 20 peratus dari keseluruhan perbelanjaan.
Pesawat ini dijangka akan mula dihasilkan pada tahun ini. – airtimes.my
