[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=WkcKmCTtAWg[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 8 Jan – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan atas kesetiaan tinggi dan segala khidmat bakti yang telah dicurahkan seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sepanjang baginda menjadi Pemerintah Tertinggi ATM.
Al-Sultan Abdullah bertitah sempena tamat pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Kem Perdana Sungai Besi menerusi Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih hari ini.
“Beta amat menghargai kesetiaan tinggi dan segala khidmat bakti yang telah dicurahkan sepanjang beta menjadi pemerintah tertinggi ATM,” titah baginda.
Baginda dan Raja Permaisuri juga amat menghargai seluruh ahli keluarga yang memberikan dukungan dan turut berkorban demi mengizinkan orang yang dikasihi untuk berbakti kepada negara.

Persembahan khas membabitkan seorang pegawai dan 306 anggota lain-lain pangkat membabitkan gabungan pancaragam pusat ATM bersama Drumline dan Brassband Tentera Darat turut memeriahkan Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih itu.
“Sesungguhnya berkorban jiwa dan raga demi mempertahankan kedaulatan dan kesejahteraan negara adalah tugas mulia yang wajar disanjung tinggi oleh seluruh rakyat Malaysia,
Al-Sultan Abdullah bertitah sejak penubuhannya, ATM menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada raja dan negara, dengan warga ATM sentiasa gagah perkasa tanpa mengira masa, cuaca serta kesenangan peribadi untuk membelah samudera, merentasi ruang angkasa dan mengharungi hutan belantara, sama ada di dalam negara mahupun di persada antarabangsa.
“Pujian dan penghormatan terhadap keupayaan ATM ketika berkhidmat bersama angkatan tentera asing jelas menggambarkan bahawa ATM telah berjaya mengorak langkah daripada sebuah angkatan melawan insurgensi kepada sebuah angkatan konvensional yang boleh diatur gerak dalam pelbagai dimensi, teater dan domain penugasan, titah Baginda lagi.
Menurut baginda, pembentukan ATM pada masa hadapan yang kredibal dan berkeupayaan tinggi wajar dijadikan sebagai agenda nasional.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong diarak keluar menggunakan kereta kuda oleh pasukan 14 Skuadron Istiadat Berkuda (SIB) dari Kor Armor Diraja sebagai simbolik perpisahan bersama warga ATM.
“ATM hendaklah terus diperkasa agar ia sejajar dengan matlamat negara membentuk sebuah angkatan masa hadapan yang berkeupayaan untuk melindungi kedaulatan negara dan pada masa sama dapat menangani cabaran geopolitik dunia yang kompleks,” titah baginda lagi.
Perbarisan Istiadat hari ini diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohd Azamri Abdullah yang melibatkan seramai 40 pegawai dan 888 anggota daripada ketiga-tiga ketumbukan ATM iaitu tentera darat, laut serta udara. -airtimes.my
