Home Pertahanan dan Keselamatan Su-30MKM jalani senggaraan berperingkat, khidmat diteruskan sehingga 2035

Su-30MKM jalani senggaraan berperingkat, khidmat diteruskan sehingga 2035

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 6 DIS – Khidmat jet pejuang Su-30 MKM akan diteruskan sehingga tahun 2035.

Bagi mencapai hasrat tersebut, program senggaraan dilaksanakan semasa Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) dan RMKe-13.

Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan menyatakan program senggaraan tersebut merangkumi Service Life Extension Programme (SLEP) dan Mid Life Upgrade Programme (MLU).

“Kementerian Pertahanan telah merancang program senggaraan berjadual bagi memastikan Su-30MKM dapat beroperasi dengan sepenuhnya serta menjamin kelestarian pengoperasiannya sehingga tahun 2035,

“Pada ketika ini, Su-30MKM sedang menjalani senggaraan SLEP di bawah RMke-12 dan seterusnya akan melalui MLU pada RMke-13,” kata Menteri Pertahanan dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Lumut, Komander Nordin Ahmad Ismail TLDM (Bersara) di Dewan Rakyat.

Tempoh RMKe-12 bermula pada tahun 2021 dan akan berakhir pada tahun 2025. Sementara itu, RMKe-13 akan bermula pada tahun 2026.

Isu operasi dan penyelenggaraan jet pejuang buatan Rusia itu sebelum ini pernah dibangkitkan di Dewan Rakyat pada tahun ini.

Pada 22 Mei lalu, bekas Timbalan Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz bertanyakan sama ada Malaysia terpaksa cannibalise  untuk memastikan jet pejuang Su-30MKM mampu beroperasi.

Ini memandangkan Rusia mengalami sekatan ekonomi oleh Barat berikutan peperangan yang berlaku di Ukraine.

Cannibalise adalah merujuk penggunaan komponen pesawat Su-30MKM yang sedia sebagai alat ganti kepada jet pejuang yang sama jenis.

Persoalan Ikmal telah dijawab oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari yang memberikan jaminan bahawa cannibalise tidak akan berlaku bagi memastikan Su-30MKM terus beroperasi dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Sebenarnya kita tidak melakukan itu (cannibalise) kerana kita tahu bahawa di kala kita melakukan penyelenggaraan Sukhoi, kita melantik syarikat tempatan iaitu Aerospace Technology Systems Corporation Sdn Bhd (ATSC) untuk memastikan bahawa kita mempunyai peralatan dan juga alat ganti yang cukup,” kata Adly di Dewan Rakyat pada Mei lalu.

Beliau menambah, sebahagian daripada program penyelenggaraan tersebut melibatkan kemahiran bidang elektronik (E&E) dan mampu dilakukan oleh TUDM.

Adly menjelaskan alat ganti turut diperolehi daripada India.

Su-30MKM merupakan salah satu daripada tunjang utama kekuatan TUDM dalam mengawasi kedaulatan ruang udara negara. Pada ketika ini, sebanyak 18 buah pesawat ini dioperasikan semenjak kali pertama diterima pada tahun 2007. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #TUDM

Related Articles

Leave a Reply