Home Pertahanan dan Keselamatan TLDM tingkat keupayaan pos sedia ada di sekitar Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah

TLDM tingkat keupayaan pos sedia ada di sekitar Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 29 NOV – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sedang melaksanakan peningkatan keupayaan di pos-pos sedia ada di pulau-pulau berhampiran bagi mengimbangi keupayaan semasa Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PLTSR) yang dirancang untuk ditamatkan pengoperasian pada tahun 2027.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari memaklumkan, peningkatan keupayaan di pos-pos sedia ada di pulau-pulau berhampiran itu termasuklah di Pulau Mataking.

Selain itu, beliau berkata, atur gerak aset-aset ATM di kawasan operasi berkenaan akan dirancang semula bergantung kepada situasi dan keperluan semasa.

“Langkah-langkah yang dilaksanakan ini adalah bertujuan untuk mengimbangi keupayaan semasa PLTSR tanpa menjejaskan kedaulatan dan keselamatan negara selepas penamatan operasinya kelak,” jelasnya di Dewan Negara, semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Dr. Wan Martina Wan Yusoff yang menyatakan apakah langkah Kerajaan bagi menggantikan Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah yang akan ditamatkan operasi pada tahun 2026.

Dalam pada itu, Adly turut menjelaskan, Kementerian Pertahanan (MINDEF) melalui TLDM sentiasa komited dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberi dalam menghadapi sebarang ancaman di kawasan perairan negara.

PLTSR adalah sebuah kemudahan pangkalan operasi hadapan yang digunakan oleh TLDM bagi menyokong dan memperkasakan Operasi Keselamatan ESSZONE.

Asalnya, PLTSR adalah sebuah unit pengeluaran minyak mudah alih (MOPU) atas inisiatif Petroliam Nasional Berhad.

Bagaimanapun, pada 30 Oktober lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan, PLTSR akan ditamatkan operasi pada 2026 kerana kos operasi yang tinggi.

Namun, beliau tidak memberikan sebarang angka bagi menyokong kos operasi pangkalan laut itu.-airtimes.my

#pertahanan #Sabah #PLTSR #airtimes

Related Articles

Leave a Reply