Home Pertahanan dan Keselamatan PLKN tidak dilaksanakan pada tahun 2024 – Tok Mat

PLKN tidak dilaksanakan pada tahun 2024 – Tok Mat

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 23 NOV – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tidak akan dilaksanakan pada 2024, sebaliknya ia dijangka bermula semula pada 2025.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan berkenaan dibuat berikutan peruntukan untuk melaksanakan program itu tidak dimasukkan dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada 13 Oktober lalu.

“Kemungkinan PLKN ini untuk laksana semula pada 2024 memang tak ada kerana tidak dibajetkan pun (dalam Belanjawan 2024). Kalau kita nak menggunakan kem-kem wataniah, sepertimana yang saya sebut sebelum ini, kita memerlukan naik taraf dulu kem tersebut secara ‘one-off’,

“Ada 13 kem wataniah di seluruh negara. Jadi perincian mekanisme pelaksanaannya, kementerian akan bersama-sama dengan semua pemegang-pemegang taruh terutamanya pihak NGO, masyarakat dan yang lain sebelum kita memuktamadkan dan mendapat kelulusan untuk menghidupkan dan meneruskan PLKN, mungkin pada tahun 2025,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan, pada Khamis.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau menambah, program yang dimansuhkan pada 2018 itu telah diluluskan oleh Kabinet, untuk kementerian memulakan kajian bagi menghidupkan semula PLKN.

Tambahnya, pelbagai pilihan telah dikaji termasuk cadangan agar melibatkan penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pada 9 Oktober lalu, Mohamad berkata, PLKN yang dimansuhkan pada 2018 akan meneruskan semula dengan kaedah latihan berbeza dan akan dijalankan latihan di kem tentera.

Beliau berkata, pelaksanaan PLKN 3.0 akan merangkumi 2 fasa, dengan fasa pertama membabitkan penyertaan pelajar tingkatan 4 di sekolah menerusi badan beruniform.

Manakala, pelajar Tingkatan 5 yang dikecualikan untuk menjalani latihan di Fasa 1 bagi memberi laluan kepada mereka melakukan persediaan menempuhi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula akan menyertai Fasa 2 di kem latihan Askar Wataniah sedia ada.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) kemudian dalam kenyataan berasingan memaklumkan, hanya remaja yang lahir pada tahun 2007 akan dipanggil untuk menjalani PLKN sekiranya program itu dilaksanakan pada tahun 2024. -airtimes.my

#pertahanan #PLKN #airtimes #MindefMalaysia

Related Articles

Leave a Reply