Home Pertahanan dan Keselamatan Hari Terbuka 2 Briged dekatkan hubungan masyarakat dengan tentera

Hari Terbuka 2 Briged dekatkan hubungan masyarakat dengan tentera

by Zaki Salleh

IPOH, 9 Oktober – Berpegang kepada slogan tentera dan rakyat berpisah tiada, mengeratkan lagi hubungan antara tentera dan masyarakat penting kerana saling mempunyai kepentingan antara satu sama lain.

Ini kerana memahami fungsi dan peranan pasukan tentera menjadikan rakyat mempunyai pengetahuan tentang perkara itu termasuk tugas semasa aman.

Buktinya, ribuan warga Ipoh tidak melepaskan peluang apabila membanjiri Dataran MBI Ipoh untuk terlibat sama pada sambutan Hari Ulang Tahun Ke-68 Briged Kedua Infantri Malaysia (2 Briged).

Latihan CPR turut diadakan bersempena Hari Terbuka 2 Briged yang diadakan di Ipoh, baru-baru ini.

Sambutan yang diadakan di kawasan umum ini luar daripada kelaziman berbanding dianjurkan di dalam kem agar masyarakat umum boleh hadir bersama seisi keluarga.

Berpeluang melihat kelengkapan tentera termasuk jentera yang digunakan menambahkan lagi pengetahuan tentang peranan pasukan keselamatan itu menjaga negara.

Pelajar kolej, Mohamad Nasri Zainal berkata, banyak pengetahuan baharu diperolehi selian berpeluang melihat aset ketenteraan.

“Saya dan rakan-rakan dapat mengetahui lebih lanjut tentang peluang kerjaya termasuk menyertai pasukan askar simpanan.

“Rupa-rupanya ada banyak cabang dan kepakaran dalam Tentera Darat, bukan semata-mata pasukan yang pergi berperang, malah ada juga mekanik dan jurutera,” ujarnya.

Mejar Jeneral Dato’ Anuar Abdul Wahab, Panglima 4 Divisyen (4 Div) telah merasmikan acara larian bersempena Hari Terbuka 2 Briged.

Bagi penyelia kafe, Ahmad Farid Ahmad Tarmizi, dia bercadang untuk menyertai Askar Wataniah agar dapat melibatkan diri dalam pasukan tentera sukarela.

Katanya, penyertaan itu juga dapat mengisi masa lapang selain membina keyakinan diri.

“Saya memang ingin menyertai pasukan seragam sukarelawan dan mendapati Askar Wataniah sangat menarik.

“Bersama 2-3 rakan lain kami merancang untuk memasuki pasukan ini untuk menyumbangkan khidmat bakti kepada negara,” katanya.

Sementara itu suri rumah, Norakmah Razali, kehadiran dia sekeluarga pada pameran itu untuk membawa anak-anak mengenali tentang pasukan tentera.

Rakyat Malaysia di sekitar Ipoh ambil kesempatan untuk hadir mengunjungi Hari Terbuka 2 Briged.

Dia yang berasal dari keluarga tentera ingin mendedahkan kepada anak-anak kerjaya datuk mereka yang pernah berjuang untuk negara.

“Anak-anak teruja kerana selama ini hanya melihat kenderaan tentera di kaca televisyen semasa hari kebangsaan,” katanya.

Terdahulu, majlis perasmian sambutan telah disempurnakan oleh Panglima 4 Divisyen (4 Div), Mejar Jeneral Dato’ Anuar Abdul Wahab diiringi Panglima 2 Briged, Brigedier Jeneral Asri Shukor.

Antara aktiviti lain yang diadakan sepanjang hari terbuka ialah Fun Walk, program kesihatan, promosi ketenteraan, pameran ikhtiar hidup dan pameran aset ketenteraan. – airtimes.my

#Pertahahan #2Briged #RejimenAskarWataniah

Related Articles

Leave a Reply