Home Pertahanan dan Keselamatan Ada lebih 109,000 pelarian di Malaysia. KDN bakal jalin kerjasama dengan UNHCR mudahkan urus pelarian

Ada lebih 109,000 pelarian di Malaysia. KDN bakal jalin kerjasama dengan UNHCR mudahkan urus pelarian

by Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 4 Oktober – Dianggarkan terdapat seramai 109,000 pelarian yang mempunyai rekod dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) berada di Malaysia.

Jumlah ini melebihi 69,000 kerana data pihak ketiga lantikan Jabatan Imigresen (JIM) menunjukkan hampir 40,000 pelarian yang juga pemegang kad UNHCR direkodkan.

Justeru, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bakal menjalinkan kerjasama dengan pihak UNHCR bagi mendapatkan data lengkap mengenai jumlah pelarian sebenar di sini.

Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerjasama itu dapat memudahkan proses pengurusan pelarian sebelum dipindahkan ke negara ketiga.

Katanya, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya UNHCR ketika berada di Washington, Amerika Syarikat baru-baru ini.

“Secara prinsipnya UNHCR bersedia untuk berkongsi data dengan kita.

“Data UNHCR menunjukkan pelarian di negara ini mencecah 109,000 orang berbanding data pihak ketiga lantikan JIM iaitu hampir 40,000 pelarian.

“Perbezaan angka ini menunjukkan jurang yang besar,” katanya.

Saifuddin ditemui pemberita semasa hadir pada majlis perasmian Depot Imigresen Kemayan di Bera, Pahang.

Sehubungan itu katanya, perkongsian data dengan UNHCR dapat membantu aspek-aspek berkaitan khususnya memudahkan kaedah pengurusan.

Pada Mac lalu, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa etnik Rohingya sebagai kumpulan pelarian dan pemohon suaka tertinggi di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelarian dan pemohon suaka dari Myanmar adalah golongan tertinggi dengan 158,165 orang (86.43 peratus).

“Daripada jumlah itu, majoritinya adalah etnik Rohingya, Myanmar iaitu 106,129 orang (67.10 peratus) di mana seramai 91,780 (86.48 peratus) adalah pelarian dan 14,349 (13.52 peratus) pemohon suaka,” katanya

Beliau berkata demikian melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH- Bukit Bendera).

Katanya, berdasarkan statistik UNHCR, terdapat 182,990 pelarian dan pemohon suaka di Malaysia dari 59 negara sehingga Disember 2022.

“Daripada jumlah ini, seramai 135,440 orang (74.01 peratus) adalah pelarian dan 47,550 orang (25.99 peratus) adalah pemohon suaka,” katanya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?