CANBERRA, 22 SEPT – Kerajaan Australia telah memperuntukkan sebanyak US$964 juta bagi mempertingkatkan pengawasan maritim negara benua itu.
Peruntukkan tersebut merangkumi pembelian pesawat tanpa pemandu (UAV) MQ-4C Triton yang keempat.
Perbelanjaan tersebut turut melibatkan program tingkat upaya 14 buah pesawat rondaan maritim, P-8A Poseidon.
UAV Triton akan diterima oleh Canberra mulai tahun 2024.
Sementara itu, tingkat upaya P-8A Poseidon pula melibatkan penambah baikan keupayaan peperangan bawah permukaan, serangan maritim dan tinjauan.

MQ-4C Triton beroperasi pada altitud tinggi dan digunakan bagi pengawasan maritim oleh Australia. Foto: RAAF
Menteri Industri Pertahanan Australia, Pat Conroy dalam satu kenyataan menjelaskan program tingkat upaya P-8A Poseidon akan bermula tahun 2026 hingga 2030.
“Tingkat upaya Poseidon akan memperkukuhkan keupayaan Australia untuk mengawasi dan melindungi perairainnya,” kata Pat.
Menyentuh perolehan MQ-4C Triton, beliau menjelaskan perolehan UAV akan mempertingkatkan keupayaan pertahanan di utara Australia.
Mutakhir ini, Australia dilihat melakukan transformasi dalam postur pertahanan mereka. Ini terutamanya dengan melihat situasi semasa di rantau Indo-Pasifik. Selain daripada itu, ia dilakukan bagi mengimbangi kekuatan ketenteraan oleh China.

Tingkat upaya 14 buah P-8A Poseidon dilaksanakan secara berperingkat bagi menambah keupayaan pesawat dalam melaksanakan pelbagai misi. Foto: RAAF
Pada tahun 2021, Australia telah menyertai pakatan kerjasama AUKUS dengan Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Melalui rangka kerja AUKUS, negara benua itu akan memperolehi 3 kapal selam berkuasa nuklear. Selain itu, ketiga-tiga negara anggota AUKUS akan berkerjasama dalam pelbagai bidang termasuk keupayaan kecerdasan buatan (AI), senjata hipersonik dan lain-lain teknologi.
Selain itu, Australia turut mempertingkatkan kerjasama dengan negara-negara Asia Tenggara dan Indo-Pasifik.
MQ-4C Triton merupakan UAV kategori HALE (High Altitude, Long Endurance) keluaran Northrop Grumman.
P-8A Poseidon pula merupakan pesawat rondaan maritim yang berkemampuan untuk melaksanakan pelbagai misi.
Pesawat ini kali pertama dioperasikan oleh Tentera Udara Diraja Australia pada tahun 2016. – airtimes.my