CANBERRA, 22 SEPT – Kerajaan Australia telah memperuntukkan sebanyak US$964 juta bagi mempertingkatkan pengawasan maritim negara benua itu.
Peruntukkan tersebut merangkumi pembelian pesawat tanpa pemandu (UAV) MQ-4C Triton yang keempat.
Perbelanjaan tersebut turut melibatkan program tingkat upaya 14 buah pesawat rondaan maritim, P-8A Poseidon.
UAV Triton akan diterima oleh Canberra mulai tahun 2024.
Sementara itu, tingkat upaya P-8A Poseidon pula melibatkan penambah baikan keupayaan peperangan bawah permukaan, serangan maritim dan tinjauan.
Menteri Industri Pertahanan Australia, Pat Conroy dalam satu kenyataan menjelaskan program tingkat upaya P-8A Poseidon akan bermula tahun 2026 hingga 2030.
“Tingkat upaya Poseidon akan memperkukuhkan keupayaan Australia untuk mengawasi dan melindungi perairainnya,” kata Pat.
Menyentuh perolehan MQ-4C Triton, beliau menjelaskan perolehan UAV akan mempertingkatkan keupayaan pertahanan di utara Australia.
Mutakhir ini, Australia dilihat melakukan transformasi dalam postur pertahanan mereka. Ini terutamanya dengan melihat situasi semasa di rantau Indo-Pasifik. Selain daripada itu, ia dilakukan bagi mengimbangi kekuatan ketenteraan oleh China.
Pada tahun 2021, Australia telah menyertai pakatan kerjasama AUKUS dengan Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Melalui rangka kerja AUKUS, negara benua itu akan memperolehi 3 kapal selam berkuasa nuklear. Selain itu, ketiga-tiga negara anggota AUKUS akan berkerjasama dalam pelbagai bidang termasuk keupayaan kecerdasan buatan (AI), senjata hipersonik dan lain-lain teknologi.
Selain itu, Australia turut mempertingkatkan kerjasama dengan negara-negara Asia Tenggara dan Indo-Pasifik.
MQ-4C Triton merupakan UAV kategori HALE (High Altitude, Long Endurance) keluaran Northrop Grumman.
P-8A Poseidon pula merupakan pesawat rondaan maritim yang berkemampuan untuk melaksanakan pelbagai misi.
Pesawat ini kali pertama dioperasikan oleh Tentera Udara Diraja Australia pada tahun 2016. – airtimes.my