Home Pertahanan dan Keselamatan #Pertahanan: Malaysia teroka kerjasama dalam bidang sains, teknologi dan industri pertahanan

#Pertahanan: Malaysia teroka kerjasama dalam bidang sains, teknologi dan industri pertahanan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 SEPT – Malaysia terus meneroka peluang jalinan kerjasama dengan United Kingdom termasuk negara-negara strategik dalam bidang sains, teknologi serta industri pertahanan selaras dengan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) yang sedang dibangunkan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Perkara tersebut dizahirkan semasa Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang dalam rangka lawatan kerja ke United Kingdom bagi menghadiri Defence and Security Equipment International (DSEI 2023).

Pihak MINDEF menyatakan, dalam lawatan itu, Mohamad telah mengadakan pertemuan dengan beberapa pemain utama industri pertahanan antarabangsa yang diadakan di ExCel, London.

“Pertemuan itu antaranya bagi mendapatkan perkembangan terkini pembangunan industri pertahanan serta penggunaan peralatan dan sistem teknologi pertahanan terkini,” jelas MINDEF dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut MINDEF, lawatan kerja Mohamad dan delegasi ke United Kingdom adalah atas jemputan bekas Setiausaha Pertahanan United Kingdom Ben Wallace yang turut disertai Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Dalam lawatannya yang bermula semalam itu, Mohamad turut berkesempatan mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Zakri Jaafar, seterusnya mengadakan perbincangan dengan Ketua-Ketua Jabatan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

“Pertemuan berkenaan antaranya bagi memaklumkan mengenai perkembangan terkini dalam negara serta berkongsi pendirian Malaysia berhubung isu-isu keselamatan serantau,” jelas kenyataan itu lagi.

Dalam masa yang sama MINDEF memaklumkan, lawatan Kerja Menteri Pertahanan ke United Kingdom adalah selari dengan Kertas Putih Pertahanan yang menggariskan United Kingdom sebagai sebuah negara fokus di bawah Tonggak Strategi Pertahanan Ketiga, iaitu Perkongsian Berwibawa. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply