Home Pertahanan dan Keselamatan #Keselamatan: Kolumnis – Wira Senoi Praaq, Sarjan Norihan terima PGB

#Keselamatan: Kolumnis – Wira Senoi Praaq, Sarjan Norihan terima PGB

by Zaki Salleh

Tanggal 20 Julai 2023 memberi pengertian besar pada Sarjan Norihan Tari, 42, dari Batalion 3 Pasukan Gerak Am (PGA) Senoi Praaq, Kem Bidor, Perak apabila berdiri di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk dikurniakan Darjah Panglima Gagah Berani (PGB).

Wira Senoi Praaq ini merupakan penerima tunggal darjah keberanian tersebut pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara. Turut berangkat ke istiadat tersebut ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Walaupun tampak tenang, kawasan sempadan Malaysia-Thailand sentiasa berhadapan dengan ancaman tersendiri yang perlu diberikan perhatian oleh pihak kerajaan. Foto: Air Times/M Daim

Al-Sultan Abdullah berkenan menyematkan darjah keberanian PGB yang merupakan pangkat kedua antara lima pangkat dalam darjah-darjah Gagah Perkasa. Darjah-darjah Gagah Perkasa merupakan darjah kelapan antara sepuluh darjah Anugerah Diraja Malaysia.

Pengurniaan Darjah PGB atas pengorbanan Sarjan Norihan berjuang menentang dua kumpulan penyeludup semasa membuat rondaan Ops Benteng berhampiran pos TS9 di Padang Besar, Perlis sehingga berlaku insiden berbalas tembakan pada 24 November 2020, kira-kira pukul 3.10 pagi.

Insiden yang mengejutkan negara serta mendapat liputan meluas media itu menyaksikan rakan sepasukan Norihan iaitu Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban selepas ditembak di perut, manakala beliau terkena satu tembakan pada rusuk kiri dan dua tembakan pada perut.

Norihan yang cedera parah sempat berlari sejauh 1.2 kilometer untuk mendapatkan bantuan di pos TS9 sebelum dihantar ke hospital.

Kedua-dua butir peluru masih berada dalam badan Norihan iaitu di tulang belakang dan operasi itu telah berjaya menemukan beberapa buah guni yang disyaki mengandungi ketum.

Mendiang Sarjan Baharuddin dan Sarjan Norihan, kedua-duanya Orang Asli dari suku kaum Semelai.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan mengurniakan Darjah Panglima Gagah Berani (PGB) kepada penerima tunggal, Sarjan Norihan Tari pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara.

Pertempuran awal pagi

Norihan yang berusia 39 tahun semasa kejadian tersebut luka parah dan sempat meminta bantuan daripada anggota sepasukan sebelum dikejarkan ke  Hospital Tunku Fauziah, Kangar, Perlis Bagaimana pun, kecederaan teruk yang dialami menyebabkan dia terpaksa dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menjalani pembedahan bagi mengeluarkan tiga butir peluru iaitu satu di paru-paru dan dua pada perut.

Mengimbas kembali insiden tersebut, kedua-dua anggota yang berpangkat koperal pada masa itu dikatakan sedang menjalankan risikan ketika kejadian berlaku.

Sarjan Baharuddin dari Batalion 3 Pasukan Gerak Am (PGA) Senoi Praaq terkorban dalam kejadian berbelas tembak dengan penyeludup pada pagi 24 November 2020

Kedua-dua anggota PGA Senoi Praaq itu terdahulu menaiki motosikal ke lokasi kejadian kira-kira 200 meter dari sebuah pos kawalan PGA berhampiran. Apabila telah sampai dekat belukar, mereka telah meletakkan motosikal di kawasan itu dan berjalan kaki mengikut denai.

Lebih kurang 400 meter berjalan, mereka terserempak dengan sekumpulan lelaki (penyeludup) dianggarkan seramai 13 orang yang mana musuh serta-merta melepaskan tembakan pada jarak dekat lalu berlaku berbalas tembakan.

Pasukan Gerakan Am (PGA) merupakan antara elemen utama keselamatan negara dalam menjaga kawasan perbatasan Malaysia-Thailand dari sebarang kegiatan jenayah rentas sempadan. Foto: Air Times/M Daim

Disebabkan melakukan tugas tinjauan awal untuk mengumpul maklumat risikan, kedua-dua anggota terbabit bagaimanapun hanya menggunakan pistol semi automatik bersama dua kelopak peluru dan tidak dibekalkan senjata tempur.

Semasa bertempur, mendiang Baharuddin telah terkena tembakan dan berundur kira-kira lima meter sebelum mengarahkan rakannya untuk keluar mendapatkan bantuan. Mendiang yang kemudian rebah bagaimana pun sempat mengarahkan Norihan segera berundur untuk  meminta bantuan.

Ketika Norihan berlari ke arah motosikal sebelum bergegas ke pos kawalan PGA tidak jauh dari situ, Baharuddin yang masih bertempur kehabisan peluru. Norihan yang parah sempat sampai di pos kawalan sebelum lima anggota PGA bergegas ke lokasi kejadian dan menemui mendiang terbaring dengan keadaan masih memegang pistol yang kehabisan peluru.

Mendiang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat terkena tembakan di bahagian rusuk kanannya.

Sebagai mengenang jasa dan pengorbanan anggota terbabit, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas perkenan Baginda untuk menganugerahkan pingat PGB kepada kedua-dua anggota yang terlibat.

Sjn Norihan mengalami kecederaan ketika berbalas tembak dengan kumpulan 13 orang lelaki yang dipercayai penyeludup. Foto: Zaki Salleh

Tambahan daripada itu, mendiang Baharuddin Ramli untuk dinaikkan pangkat Sarjan secara ‘posthumous’ dan manakala Norihan dinaikkan ke pangkat Sarjan secara medan.

Semasa masih berada di Hospital Pulau Pinang iaitu pada 28 November 2020, Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan Watikah Wira Negara dan surat penghargaan kepada  Sarjan Norihan atas sumbangannya mempertahankan benteng negara.

Penyerahan watikah dan surat itu dilakukan juruiring baginda, Datuk Yahaya Othman bersama Ketua Polis Pulau Pinang ketika itu, Datuk Sahabudin Abd Manan, ketika menziarahi anggota polis itu di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang.

Penulis sempat merakamkan gambar kenangan bersama Sjn Norihan. Foto: Zaki Salleh

Dalam sesi temubual bersama penulis pada 18 Disember 2020 di Kem Bidor, Sarjan Norihan telah menceritakan detik-detik bagaimana pertempuran dengan penyeludup berlaku. Berikut adalah transkrip temubual tersebut yang telah disiarkan sebuah akhbar tempatan:

Dua peluru masih tertanam pada badan Norihan

TAPAH: Wira Senoi Praaq, Sarjan Norihan Tari, 39, masih sukar melupakan peristiwa berbalas tembakan dengan penyeludup termasuklah riak wajah mendiang Sarjan Baharuddin Ramli yang memberikan arahan terakhir memintanya supaya mendapatkan bantuan.

Dalam keadaan menahan kesakitan setelah ditembak musuh, mendiang Sarjan Baharuddin masih bertanyakan keadaan keselamatan dirinya beberapa kali semasa sama-sama melepaskan tembakan ke arah kumpulan penyeludup.

“Sebelum bergerak keluar pula dia masih lagi berpesan agar saya berhati-hati dan menjaga diri serta berharap saya dapat keluar dengan selamat.

“Saya hanya mengetahui tentang mendiang Sarjan Baharuddin selepas dua hari selesai pembedahan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Kehilangan beliau sangat-sangat saya rasai,” katanya ketika ditemui di Kem Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (Bn 3 PGA) Senoi Praaq di sini.

Menurut Norihan, keadaan kesihatannya bertambah baik dan beliau kerap melakukan pergerakan termasuk berjalan seperti dinasihatkan doktor supaya paru-parunya dapat kembali berfungsi dengan baik.

Beliau yang masih berpantang juga hanya makan bubur nasi dan berlaukkan sup ikan harian bagi memulihkan kesan parut akibat tembakan penyeludup iaitu satu pada bawah ketiak dan dua di perut.

“Kesan pembedahan masih ada di mana saya cepat terasa penat bila berjalan.

“Saya akan melakukan rawatan susulan di HPP pada 22 hingga 23 Disember ini bagi bertemu dengan doktor pakar usus dan doktor pakar tulang untuk mengetahui keadaan diri selanjutnya,” katanya.

Hanya sebutir peluru berdekatan paru-paru dikeluarkan semasa menjalani pembedahan manakala dua lagi butir peluru yang menembusi tulang belakang pada bahagian pinggul tidak dapat dikeluarkan kerana bimbang boleh menyebabkan lumpuh.

Dalam kejadian pada pukul 3.10 pagi 24 November lalu, Norihan dan mendiang Sarjan Baharuddin, 54, berbalas tembakan dengan penyeludup sewaktu melakukan rondaan Ops Benteng berhampiran pos TS9 Padang Besar, Perlis.

Bagaimanapun, Baharuddin terkorban dalam insiden itu selepas ditembak di perut, manakala Norihan yang turut terkena tembakan sempat berlari sejauh 1.2 kilometer untuk mendapatkan bantuan di pos TS9 sebelum dihantar ke hospital.

Related Articles

Leave a Reply