Home Pertahanan dan Keselamatan #Pertahanan: Agong berkenan saksikan Latihan Kuasa Tembakan 2023

#Pertahanan: Agong berkenan saksikan Latihan Kuasa Tembakan 2023

by Nurulhuda

GEMAS, 18 Jul – Lapang Sasar Asahan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas hari ini digegarkan dengan bunyi dentuman tembakan dan bom serta diliputi kepulan asap, bersempena Latihan Kuasa Tembakan (LKT) tahun 2023.

Umpama berada di medan perang, senario sedemikian melibatkan penyertaan 2,660 pegawai dan anggota.

Latihan ini juga disokong 106 buah aset serta persenjataan melibatkan Kenderaan Perisai Pendekar PT-91M, AV8 Gempita, Lipan Bara, Adnan dan Malaysian Infantry Fighting Vehicle (MIFV).

Manakala, aset persenjataan yang merangkumi persenjataan kecil hingga ke senjata berkaliber besar antaranya Baktar Shikar (ATGM), Meriam 155 MM G5 MK III, Meriam 105 MM PH L5 dan Anti-Tank Guided Missile (ATGW) Ingwe.

Ruang udara turut menyaksikan pertunjukan pesawat seperti helikopter Super Lynx daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dipasang dengan persenjataan HMG dan helikopter MD 530 G serta Agusta A109 LOH dari Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).

Aksi yang berlangsung hampir 2 jam bermula 10 pagi tadi turut disaksikan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut berangkat, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Pemangku Ketua Setiausaha, Kementerian Pertahanan, Datuk Dr. Shahrazat Ahmad dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Selesai pertunjukan latihan tersebut, Seri Paduka turut berkenan merasai sendiri pengalaman menembak senjata MK44 Bushmaster II 30mm dari kenderaan jenis 8×8 Gempita dan meriam 105mm LG1 MK III.

Terdahulu, Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dalam ucapannya berkata, latihan berkenaan adalah bukti bagi memastikan usaha berterusan membentuk pasukan tentera yang hebat dan berwibawa.

Menurutnya, Tentera Darat bersama TLDM serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah menunjukkan keteguhan hati yang tidak berbelah bahagi dalam menjaga kedaulatan negara.

“Tanpa mengira cabaran yang dihadapi, kami tetap teguh dalam komitmen kami untuk melatih dan melengkapkan diri kami. Latihan senjata api berfungsi sebagai platform di mana sinergi kaedah mesin dan manusia diuji serta dilaksanakan dengan tahap profesionalisme dan dedikasi tertinggi,

“Matlamat pasukan tentera adalah untuk menjadi pasukan yang mempunyai kesediaan optimum, memastikan kemantapan organisasi dan keupayaan untuk memanfaatkan rangkaian penuh keupayaan dan kuasa tempurnya untuk mempertahankan kedaulatan dan melindungi kepentingan negara,

“Dalam konteks ini, latihan kuasa tembak direka bentuk untuk meningkatkan dengan cekap dan berkesan kemahiran berperang tentera kita. Ia menggambarkan senario taktikal yang melibatkan penempatan bahagian senjata gabungan dalam operasi serangan sebagai sebahagian daripada persediaan pasukan petugas bersama,” katanya lagi.

Tentera Darat memaklumkan, LKT 2023 yang telah bermula sejak 8 Julai lalu dan berakhir hari ini juga bertujuan mempamerkan keupayaan sesebuah combat team dalam ketumbukan combined arms, melalui maneuver dan kuasa tembakan secara segmen dinamik.

“Ia merangkumi senjata Bantuan Infantri, Mekanize, Armor, Artileri, PUTD dan pesawat Udara TLDM serta TUDM dalam memperagakan keberkesanan sistem persenjataan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),

“Selain itu, latihan ini turut menguji pengurusan pasukan, keupayaan anggota dan memperagakan kompetensi anggota yang terlibat dalam melaksanakan latihan tembakan peluru hidup,

“Ia turut diadakan sebagai memberi pendedahan kepada para penuntut Kursus Pemerintah dan Staf Malaysia (Bersama) dari Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) yang telah dipertontonkan pada 15 Julai yang lalu,” jelas TDM dalam kenyataan hari ini. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply