Home Pertahanan dan Keselamatan #Keselamatan: Pegawai Maritim Malaysia cedera parah ditetak ketika meronda, nelayan Vietnam semakin biadap

#Keselamatan: Pegawai Maritim Malaysia cedera parah ditetak ketika meronda, nelayan Vietnam semakin biadap

by M.Daim

KUALA TERENGGANU, 5 JUL – Seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu cedera parah di kepala akibat ditetak oleh nelayan Vietnam.

Ibu Pejabat Maritim Negeri Terengganu dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian berlaku pada 11.30 pagi hari ini di kawasan perairan pada jarak lebih kurang 148 batu nautika dari Kuala Terengganu.

“Leftenan Muda Maritim Shakir Zufayri Azizul Rahman, 27 tahun telah ditetak dengan parang oleh salah seorang nelayan ketika melakukan pemeriksaan dalam bot nelayan terbabit selepas pasukan Maritim Malaysia menahan Bot Nelayan Asing (BNA) berkenaan kerana melakukan aktiviti tangkapan ikan secara haram di perairan Malaysia,

“Ketika nelayan warga Vietnam tersebut diperiksa, telah berlaku tindakan kasar dan menyerang pegawai penguatkuasa, namun pasukan Maritim Malaysia dapat mengawal keadaan dan seterusnya menahan 16 orang kru bot terbabit,” kata Kepten Maritim Khairul Anuar Abd Majid, Pengarah Maritim Negeri Terengganu dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan, tangkapan yang melibatkan seorang tekong dan 15 orang awak-awak dilakukan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.

Turut cedera dalam pergelutan itu ialah tekong bot berkenaan yang cedera di bahagian paha,

“Seorang awak-awak cedera di kepala dan dua lagi awak-awak cedera terkena tembakan masing-masing di bahagian lengan kiri dan paha kiri serta paha kanan,” jelasnya.

Khairul Anuar menambah, kesemua yang cedera telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan menaiki helikopter Maritim Malaysia bagi mendapatkan rawatan segera.

Pegawai Maritim Malaysia dan nelayan VIetnam yang cedera telah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan. Foto” Maritim Terengganu

Terdahulu, mangsa bersama-sama 18 orang pegawai dan anggota Kapal Maritim (KM) Gemia telah menahan sebuah bot yang disyaki BNA yang sedang leka melakukan aktiviti tangkapan ikan di kawasan perairan berkenaan.

Semasa siasatan dilakukan, kesemua kru bot berkenaan didapati tidak memiliki permit serta lesen yang sah. Rentetan kejadian itu, kesemua kru bot berkenaan telah melakukan tindakan nekad dengan menyerang pegawai dan anggota Maritim Malaysia yang berada di dalam bot berkenaan.

Menurut Maritim Terengganu, kesemua kru BNA terbabit ditahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa memiliki sebarang pas yang sah.

Isu pencerobohan nelayan asing di kawasan perairan negara merupakan salah satu isu yang mengancam tahap keterjaminan makanan Malaysia (food security).

Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang dibentangkan oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2019 lalu menyatakan pencerobohan BNA merugikan ekonomi dan mengancam keselamatan negara.

“Kegiatan perikanan haram adalah satu lagi ancaman keselamatan maritim kepada negara. Isu yang berleluasa ini menjejaskan ekonomi negara dan menyukarkan usaha untuk memastikan industri perikanan yang mampan di Zon Maritim Malaysia (ZMM),

“Malaysia kehilangan hasil negara sehingga RM6 bilion setiap tahun akibat kegiatan perikanan haram. Dianggarkan sebanyak 980 ribu tan hasil laut negara telah lesap setiap tahun,” jelas KPP.

Jelasnya, kegiatan ini menjejaskan kepelbagaian biologi, spesies berkaitan dan saling kebergantungan dan ekosistem maritim yang lebih luas.

“Pencerobohan kapal nelayan asing telah menjejaskan ekonomi, keselamatan dan kedaulatan negara,

“Kerajaan sedang menangani isu ini melalui kolaborasi agensi penguatkuasaan maritim melalui operasi bersepadu seperti Op Naga yang dilaksanakan di pantai timur Semenanjung Malaysia,” menurut KPP.

Industri perikanan Vietnam sebelum ini menerima ‘kad kuning’ dari European Commission berikutan penglibatan nelayan mereka dalam melakukan pencerobohan serta menangkap ikan secara haram di perairan negara pesisir lain termasuk Thailand dan Malaysia.

Pada Februari lalu, media Vietnam melaporkan pihak kerajaan Hanoi telah menggariskan pelan tindakan bagi mengatasi dan membasmi kegiatan tersebut. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply