Home Teknologi Pertahanan Ke manakah perginya Bayraktar TB2 di Ukraine?

Ke manakah perginya Bayraktar TB2 di Ukraine?

by M.Daim

Perang Ukraine kini menghampiri usia 16 bulan. Konflik bersenjata di negara Eropah itu masih belum menunjukkan sebarang tanda-tanda ianya akan berakhir dalam masa terdekat.

Peperangan ini menyaksikan penggunaan teknologi dron secara meluas oleh kedua-dua pihak.

Walaupun teknologi dron pada masa kini dilihat berpotensi untk jauh ke hadapan, akan tetapi ianya masih terlalu awal untuk menyatakan kehadiran UAV mahupun ‘dron kamikaze’ berupaya untuk mengubah corak peperangan.

Malah, kemampuan teknologi ini masih belum dapat mengambil alih sepenuhnya pesawat jet pejuang mahupun pesawat pengebom seperti yang pernah diwar-warkan sebelum ini.

Contoh paling utama adalah Bayraktar TB2 yang dilihat sebagai simbol penentangan terhadap operasi ketenteraan Rusia oleh Ukraine. Pesawat UCAV yang menjadi idaman sesetengah pemerhati pertahanan global dan tanah air itu telah berjaya menyekat kemaraan awal Rusia.

Bayraktar TB2 diangkat sebagai simbol penentangan oleh Ukraine sehingga terhasilnya lagu khusus untuk dron buatan Turkiye itu.

Malah, Bayraktar TB2 dilaporkan antara faktor yang membawa kepada tenggelamnya kapal MOSKVA Tentera Laut Rusia. Menurut laporan oleh Kyiv, UAV buatan Turkiye itu telah terbang di kawasan ruang udara berhampiran MOSKVA bagi tujuan untuk mengalihkan perhatian sistem pertahanan udara kapal tersebut sebelum dihentam oleh misil anti permukaan NEPTUNE.

 Namun begitu, nama UAV keluaran Baykar tersebut kian menyepi di sebalik kehadiran dron kamikaze seperti Shahed-136 dan juga Switchblade.

Melihat analisis oleh  Center for Naval Analyses (CNA), ketiadaan Bayraktar TB2 adalah berpunca daripada penggunaan sistem pertahanan udara dan peperangan elektronik oleh Rusia.

“Penilaian awal mendapati dron seperti Bayraktar TB2 mampu memberikan kesan yang jelas sekiranya mereka berada di kawasan yang bebas dari sebarang ancaman pertahanan udara dan juga elektronik,” kata analis robotic CNA, Samuel Bendett yang dipetik oleh Insider.

Video yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan Rusia menunjukkan kehadiran Bayraktar TB2 dalam operasi maritim oleh Ukraine.

Menurut beliau, UAV yang terbang pada kelajuan dan altitud rendah menjadi sasaran mudah seperti mana yang berlaku di Libya dan konflik Azerbaijan-Armenia.

Dalam laporan Russain Combat Air Strengths and Limitations: Lesson from Ukraine dari CNA, kehadiran jet pejuang Rusia dilihat sebagai antara faktor yang mengekang operasi ofensif Bayraktar TB2.

Pada awal Mei lalu, media Ukraine melaporkan sistem pertahanan udara Kyiv terpaksa menembak jatuh Bayraktar TB2 setelah ia dilaporkan hilang kawalan.

Laporan oleh Ukrainska Pravda tidak menunjukkan apakah masalah yang dihadapi oleh Bayraktar TB2. Namun, terdapat sesetengah pemerhati tidak menolak ianya berkemungkinan berpunca dari faktor peralatan dan juga peperangan elektronik oleh Rusia.– airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply