[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=nQa3085I50g[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 8 Jun – Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menafikan dakwaan seolah-olah tiada sebarang pendakwaan dilakukan terhadap pihak yang terlibat dalam isu pembinaan Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ships, LCS).
Beliau berkata, Kementerian Pertahanan (MINDEF) sentiasa bersifat terbuka dan siasatan telah dibuat oleh pihak berkuasa yang terlibat.
“Seolah-olah langsung tiada pendakwaan, itu tidak benar. Dakwaan berlaku cuma memang kita (MINDEF) tak puas hati kerana telah membelanjakan sekian banyak (untuk LCS) tetapi hasilnya belum dapat kita lihat,
“Kita di MINDEF sentiasa memberikan kerjasama kerana bagi kita, di samping memberikan keutamaan kepada penyiasatan ini, pada masa sama teras utama adalah memastikan keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diberikan keutamaan,
“Dan yang paling penting, kedaulatan negara menjadi keutamaan MINDEF,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang bertanyakan mengapa sehingga kini tiada seorang pun yang ditangkap dan diambil tindakan mahkamah berhubung isu LCS, di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam masa yang sama, Adli (PH-Alor Gajah) memaklumkan, kapal LCS pertama dijangka ditauliahkan bagi kegunaan TLDM pada akhir tahun 2026 selepas melalui ujian penilaian di pelabuhan dan ujian penilaian di laut.
“Dalam perkembangan terkini, kontrak tambahan ke-6 telah ditandatangani pada 26 Mei 2023 yang merupakan tarikh permulaan bagi memulakan kerja-kerja pembinaan LCS,
“Berdasarkan perancangan perbatuan yang terkandung dalam perjanjian tambahan ini, kapal LCS pertama akan siap pembinaan pada bulan November 2024 sebelum melalui beberapa penilaian iaitu ujian penilaian di pelabuhan dan ujian penilaian di laut oleh pihak TLDM,
“Insya-Allah LCS pertama dijangka ditauliahkan bagi kegunaan TLDM pada kahir tahun 2026,” ujarnya lagi. -airtimes.my