PORT DICKSON, 14 April – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) lupus dadah seberat 249.3 kg jenis Methamphetamine (syabu) dan Methylenedioxyamphetamine (MDMA) pil ecstasy bernilai RM10.53 juta di Kualiti Alam Sdn Bhd, Port Dickson, semalam.
Pengarah APMM Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, dadah tersebut dirampas pada 4 Disember 2020 yang cuba diseludup di Pulau Betong, Pulau Pinang.
“Kesemua dadah terbabit dilupuskan melalui kaedah musnah dan bakar selaras dengan peraturan di bawah Pekeliling Perbendaharaan (PP) Tatacara Pengurusan Aset Alih Kerajaan AM 2.7 di bawah Seksyen 39 (b) Akta Dadah Berbahaya 1952, serta pemusnahan dilaksanakan setelah mendapat perintah mahkamah,
“Proses pelupusan ini dilaksanakan secara terkawal dengan mematuhi prosedur keselamatan agar ia tidak menjejaskan kesihatan manusia dan haiwan serta membahayakan alam sekitar dengan menggunakan inkubator yang diuruskan oleh syarikat tempatan lantikan kerajaan,” ujar beliau lagi.
Abd Razak berkata, dadah berkenaan telah dirampas menerusi Op Pertiwi oleh sepasukan bot pemintas APMM bersama Unit Risik setelah pihaknya menerima maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dan penyeludupan dadah di kawasan berkenaan.
“Menyedari kehadiran pasukan APMM, penjenayah yang menaiki bot dengan 2 enjin sangkut pada ketika itu mencampakkan 8 beg pakaian yang mengandungi hablur kristal dipercayai methamphetamine dianggar seberat 240 kg dengan sebuah beg lagi berisi 7 bungkusan plastik lutsinar mengandungi pil pelbagai saiz dan warna disyaki ecstasy seberat 9.3 kg,
“Setelah kes selesai dibicarakan, pihak mahkamah telah membenarkan kesemua dadah terbabit dilupuskan pada 30 Disember tahun lalu,” tambahnya lagi. -airtimes.