Home Pertahanan dan Keselamatan Proses penerimaan PJM dipercepat, 40,000 veteran ATM masih menunggu

Proses penerimaan PJM dipercepat, 40,000 veteran ATM masih menunggu

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=BKuBhWkltUU[/embedyt]

 

SENDAYAN, 7 Mac – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, proses penerimaan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dipercepatkan.

Menurutnya, kerajaan telah bersetuju mewakilkan kuasa pemakaian pingat itu kepada Panglima Angkatan Tentera serta Ketua Perkhidmatan ATM.

Jelasnya, penambahan perwakilan kuasa itu turut membabitkan Panglima Medan bagi Tentera Darat Malaysia (TDM), Panglima Armada (Tentera Laut Diraja Malaysia) dan Panglima Wilayah Udara (Tentera Udara Diraja Malaysia) dan setaraf.

“Perkara ini akan dilakukan secepat mungkin berikutan lebih 40,000 veteran ATM masih menunggu menerima anugerah berkenaan,

“Sekiranya tidak menambah perwakilan kuasa ini, ada kemungkinan sehingga 2049 baru selesai majlis anugerah ini, jadi ia perlu dipercepatkan kerana yang masih belum terima (pingat PJM) ramai,” katanya pada kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Penganugerahan PJM kepada 450 penerima di Wisma Perwira, Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sendayan.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz; Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV), Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, penganugerahan PJM dikoordinasi oleh JHEV dan telah dilaksanakan bermula pada 3 Mac 2004.

“Penganugerahan PJM adalah satu pengiktirafan kepada anggota tentera di atas sifat keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan kesetiaan dalam menyumbang kepada kebebasan Malaysia daripada ancaman pengganas komunis,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, Mohamad berkata, kementerian bercadang menambah 6,000 lagi veteran yang layak menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) bulanan membabitkan penambahan kos berjumlah RM21 juta.

Beliau berkata, sebelum ini terdapat 9,000 veteran yang menerima bantuan berkenaan dan dengan penambahan bilangan ini, akan membabitkan keseluruhan 15,000 veteran yang layak menerima BSH dengan kos keseluruhan RM54 juta.

“Ini antara usaha kita untuk membantu anggota veteran dan perkara ini akan dicadangkan kepada kerajaan sebagai tambahan bajet, sekiranya tidak dapat, kementerian akan berusaha secara dalaman,

“Bantuan untuk anggota veteran yang terhimpit dan layak menerima bantuan akan disegerakan,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply