CELIKHAN, 1 Mac – Petugas Hospital Medan Malaysia (HMM) telah berjaya merawat satu keluarga masyarakat Turkiye yang dipercayai keracunan gas.
Insiden tersebut melibat 10 daripada 16 ahli keluarga yang berusia antara 6 hingga 75 tahun mengalami keracunan gas dan bersimptom.
Markas Angkatan Bersama dalam satu hantaran di akaun media sosialnya berkata, insiden yang berlaku pada 21 Februari lalu dipercayai berpunca dari kebocoran paip gas di dalam khemah penempatan sementara yang diduduki oleh keluarga terbabit.
“Kesemua telah berjaya dirawat oleh para doktor dan jururawat HMM. Namun seorang daripada ahli keluarga tersebut iaitu seorang wanita berusia 55 tahun terpaksa dimasukkan ke wad untuk pemerhatian lanjut,” katanya.

Pakar Kanak-Kanak dan petugas Hospital Medan Malaysia adakan lawatan ke rumah keluarga mangsa selepas rawatan berjaya dilaksanakan. Foto: Markas Angkatan Bersama
Menurut Markas Angkatan Bersama, tindakan berani kanak-kanak berusia 6 tahun, Eda Sahim telah berjaya menyelamatkan ahli keluarganya dari terkorban akibat keracunan gas.
“Eda Sahim telah mengejutkan semua ahli keluarganya yang sedang nyenyak tidur dan berjaya menyelamatkan semua ahli keluarganya dari keracunan merbahaya yang boleh membawa maut,
“Keracunan gas karbon monoksida boleh berlaku dalam keadaan sedemikian dan boleh menyebabkan kematian jika tidak mendapat rawatan awal di hospital,” katanya.
Selain daripada itu, Pakar Kanak-kanak dan petugas HMM telah melakukan lawatan kepada keluarga mangsa selepas pesakit warga emas telah selesai menjalani rawatan. – airtimes.my