Home Pertahanan dan Keselamatan BAKAT ATM hulur sumbangan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye

BAKAT ATM hulur sumbangan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye

by Muaz Rizqi

KUALA LUMPUR, 17 Feb – Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut melaksanakan aspek gerak kerja kebajikannya dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi yang terjejas di Turkiye.

Pihak Markas ATM dalam satu kenyataan memaklumkan, sumbangan kebajikan yang berupa 2,000 helai selimut dan 2,000 helai tuala itu disalurkan kepada Kedutaan Turki di Malaysia, hari ini.

Jelas Markas ATM, kesemua sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pegawai Staf 1 BAKAT ATM, Mejar Hazfina Hassan TUDM yang mewakili Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM, Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah kepada Duta Besar Turki di Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Emir Salim YÜKSEL.

“Sumbangan yang juga merupakan inisiatif oleh Tengku Muhaini ini bertujuan untuk meringankan beban yang dipikul oleh mangsa yang terjejas akibat bencana alam berkenaan di samping mendukung usaha-usaha kebajikan yang digerakkan oleh BAKAT ATM,

“Ia juga selaras dengan peranannya dalam memberi khidmat kebajikan tanpa mengira agama dan bangsa serta menyokong aktiviti-aktiviti amal samada yang digerakkan di dalam mahupun luar negara,” jelas Markas ATM.

Dalam masa yang sama, Markas ATM menjelaskan, inisiatif ini juga adalah bagi menyokong usaha ATM yang telah mengerakkan pasukan perubatan dan kesihatannya bagi mengoperasikan Hospital
Medan Malaysia (HMM) di negara tersebut.
Pada 6 Februari lalu, gempa bumi kuat bermagnitud 7.8 telah menggegarkan tengah Turkiye dan barat laut Syria sehingga mengorbankan lebih 41,000 mangsa.

Sehingga semalam, Malaysia telah mengaturgerakan lebih 200 petugas ke Turkiye dalam membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi yang melanda negara itu.

Pasukan SAR negara yang terdiri daripada anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Kor Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia yang ditempatkan di Nurdagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply