Home Pertahanan dan Keselamatan Komando hilang semasa menyelam: SOP latihan dipatuhi, tiada kecuaian berlaku – Adly Zahari

Komando hilang semasa menyelam: SOP latihan dipatuhi, tiada kecuaian berlaku – Adly Zahari

by Bernama

MELAKA, 11 Feb – Anggota komando, yang dikhuatiri lemas, ketika kursus juruselam di perairan Pulau Undan, Selasa lalu, disahkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan bukannya disebabkan berlaku kecuaian atau tidak mengikut SOP.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata SOP bagi kursus selaman itu mengutamakan keselamatan dengan peralatan yang lengkap namun penilaian lanjut akan diteruskan berikutan pelbagai faktor kemungkinan lain seperti arus deras atau gelora yang menyebabkan kejadian itu berlaku.

“Kalau mengikut laporan daripada segi peralatan, ia memenuhi SOP dan sebelum kejadian itu berlaku mereka telah melakukan penyelaman di kedalaman kira-kira 18 meter (60 kaki) dan kemudian diteruskan di kedalaman 36.5 meter (120 kaki)

“Ia bukanlah kumpulan pertama, beliau (mangsa) adalah kumpulan kedua kerana kumpulan pertama telah selesai menjalani selaman yang sama dan semua SOP dipatuhi. Namun kita tidak nafikan dalam apa jua kemalangan pihak kementerian akan membuat penilaian dan penambahbaikan,”katanya kepada pemberita, di sini, hari ini (10 Februari).

Terdahulu, beliau meninjau operasi mencari dan menyelamat (SAR) di perairan Pulau Undan dan diiringi Panglima 21, Gerup Gerak Khas (21 GGK), Mejar Jeneral Nubli Hashim.

Timbalan Menteri Pertahanan, , Adly Zahari menegaskan insiden anggota komando hilang semasa latihan menyelam pada Isnin lalu bukan berpunca dari kecuaian dan pelanggaran SOP.

Mengulas lanjut, Adly berkata, aktiviti latihan selaman lain yang sedang dilakukan akan diteruskan selagi faktor keselamatan dan kelengkapan anggota diberi keutamaan dan pihaknya tidak bercadang menangguhkan sementara latihan tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata operasi SAR mencari mangsa, Lans Koperal Edrin Baintim, 25, diteruskan bagi tempoh beberapa hari lagi selain sektor pencarian kawasan juga telah diperluaskan.

“Operasi pencarian telah dilakukan sama ada di laut ataupun melalui udara sehingga ke bahagian selatan iaitu di Batu Pahat dan ke utara sehingga ke Port Dickson.

“Pasukan SAR juga menggunakan alat pengesan sonar bermula hari ini bagi mengesan kedudukan mangsa selain menggunakan dron daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memantau pulau-pulau kecil yang sukar diakses dengan bot,”katanya.

Adly berkata banyak faktor yang perlu ambil kira dan pihaknya akan menggunakan semua  eupayaan untuk memastikan misi menyelamat itu memberikan hasil yang diharapkan.

Pada 7 Feb lepas, dilaporkan mangsa yang merupakan anggota Tentera Darat dipercayai daripada Rejimen Gerak Khas (Komando) dikhuatiri lemas ketika menjalani kursus juruselam di 0.7 batu nautika barat daya Pulau Undan.

Mangsa dikatakan hilang ketika Eksesais ‘Pari Harimau’ kursus juruselam bersama enam pegawai dan 37 peserta kursus dari kem Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Sungai Udang. – BERNAMA

 

Related Articles

Leave a Reply