Home Pertahanan dan Keselamatan APMM rampas rokok bernilai RM250,000 di perairan Besut

APMM rampas rokok bernilai RM250,000 di perairan Besut

by Muaz Rizqi

KUALA TERENGGANU, 9 Feb – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Negeri Terengganu menggagalkan cubaan menyeludup masuk 410,000 batang rokok putih dianggar bernilai hampir RM250,000 di Muara Kuala Besut kira-kira pada jam 3 pagi semalam.

Pengarah APMM Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, aktiviti penyeludupan ini dikesan menerusi maklumat risikan selama beberapa hari.

“Sepasukan anggota APMM ditugaskan bagi melaksanakan satu operasi khas dan pemantauan di lokasi yang telah dikenal pasti iaitu di sekitar perairan Besut seterusnya maklumat disalurkan kepada tim darat untuk proses penahanan,

“Hasil rondaan telah mengesan sebuah bot enjin sangkut yang bergerak dalam keadaan mencurigakan, menyedari kehadiran bot peronda APMM bot suspek memasuki kawasan cetek untuk memboloskan diri,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Khairulanuar berkata, melalui hasil pemeriksaan lanjut di sekitar pulau, pasukan operasi menemukan beberapa bungkusan plastik biru berisi rokok putih dipercayai ditinggalkan suspek sebelum melarikan diri.

“Seterusnya, bantuan tim darat telah mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan dan ketika serbuan dibuat sebuah lori muatan rokok berjaya ditahan,

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d), Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) dan denda tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang 6 bulan dan tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” jelasnya lagi.

Dalam masa yang sama beliau berkata, APMM Terengganu akan terus meningkatkan kawalan di sempadan perairan negara dan mengenai kes penyeludupan ini, pihaknya masih giat memperincikan siasatan dengan menggunakan sumber yang ada bagi mengesan dan memburu suspek.

“Sebarang perlanggaran undang-undang, aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan lain-lain kegiatan jenayah di Zon Maritim Malaysia, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Terengganu di talian 09- 6224357 atau MERS 999 untuk maklum balas segera”, tambahnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply