Home Pertahanan dan Keselamatan Hulur duit ketika pilihan raya tetap satu sogokan – BERSIH

Hulur duit ketika pilihan raya tetap satu sogokan – BERSIH

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 25 Jan – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menegaskan pemberian wang tunai atau apa-apa yang berharga semasa pilihan raya adalah rasuah.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Pemandu BERSIH menggesa penguatkuasaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan segera membentangkan Akta Pembiayaan Politik di Parlimen untuk mengawal pelanggaran sedemikian.

BERSIH juga mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Tetap Parlimen untuk meneliti sistem dan proses Pilihan Raya pada sidang Dewan Rakyat pada Februari depan.

“Walaupun menjadi budaya masyarakat di Malaysia untuk memberi sedekah, namun sekiranya pemberian wang itu diberikan ketika waktu pilihan raya maka pemberian wang tersebut boleh dianggap sebagai satu kesalahan rasuah pilihan raya,” katanya dalam satu kenyatan hari ini.

Jawatankuasa berkata demikian bagi merujuk pendirian Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa pengagihan wang tunai dari parti kepada pengundi semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah satu ‘sedekah’ dan tidak melanggar mana-mana undang-undang pilihan raya.

Jelas Abdul Hadi, peraturan sedia ada hanya melarang calon yang bertanding dan wakil mereka daripada memberi wang tunai kepada pengundi.

Sehubungan itu, BERSIH menjelaskan, kenyataan Ahli Parlimen Marang itu bercanggah dengan seksyen 10 (Sogokan) di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Mengikut seksyen ini, sesiapa yang secara langsung atau tidak langsung menyumbang wang atau apa-apa perkara lain yang bernilai sebelum, semasa, atau selepas pilihan raya boleh didakwa kerana melakukan kesalahan rasuah.

“Hal ini bermakna sebarang pemberian wang atau barang bernilai kepada pengundi dalam tempoh pilihan raya untuk mempengaruhi mengundi atau tidak mengundi seseorang calon adalah satu bentuk rasuah,

“Tindakan tersebut tidak mengira sama ada dilakukan secara langsung oleh calon mahupun oleh pihak ketiga,” jelas Jawatankuasa itu lagi.

Dalam kenyataan yang sama, jawatankuasa itu turut menggesa pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara itu dan jika terdapat kes, pelaku perlu didakwa di mahkamah.

“Peguam Negara sebagai pendakwa raya, perlu mendakwa orang yang terlibat sebelum Mahkamah boleh membuat penghakiman,

“Kenyataan Abdul Hadi walaupun seperti mengakui bahawa ada pemberian wang yang diberikan pada PRU15 sebagai satu bentuk ‘sedekah’, namun mahkamah perlu diberikan ruang untuk memberi tafsiran mereka di dalam perkara ini,” katanya.

BERSIH seterusnya menggesa kerajaan untuk tidak melengahkan lagi penggubalan akta pembiayaan dana politik di Parlimen.

“Kerana hal tersebut boleh memberi persepsi bahawa kerajaan tidak serius menangani rasuah pilihan raya dan politik wang,

“Selain wujud persepsi songsang bahawa sebarang penyiasatan terhadap kesalahan rasuah oleh pihak pembangkang adalah bermotifkan penganiayaan dan pemburuan politik (witch hunting) kerana Peguam Negara berkuasa mengawal pendakwaan,” tambah kenyataan itu. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply