Home Pertahanan dan Keselamatan APMM terbangkan wanita mengandung alami komplikasi dari Tioman ke Kuantan

APMM terbangkan wanita mengandung alami komplikasi dari Tioman ke Kuantan

by Nurulhuda

KUANTAN, 10 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melakukan penerbangan ihsan dengan mengambil seorang wanita mengandung mengalami komplikasi dari Pulau Tioman untuk diterbangkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) malam tadi.

Pengarah APMM Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, Maritim Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuantan menerima panggilan daripada Maritime Rescue Co-ordinating Centre (MRCC) Putrajaya pada sekitar jam 6.20 petang dalam usaha memindahkan pesakit ke hospital untuk pembedahan.

Pesakit, Puan Afika Abu Bakar, 22 tahun mengalami kontraksi kelahiran pramatang dan memerlukan rawatan segera di hospital kerana dijangka bersalin awal.

“Pesakit ini tidak dapat dihantar dengan bot ambulan kerana laut bergelora pada masa ini,

“Helikopter jenis Agusta AW 139 APMM diterbangkan dari Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) tiba di Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman sekitar jam 8.50 malam untuk mengambil pesakit tersebut,

“Kemudian, helikopter mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Kuantan (TUDM) lebih kurang jam 9.15 malam sebelum bergerak ke HTAA menaiki ambulan,” katanya menerusi hantaran di media sosialnya, malam tadi.

Penerbangan ihsan ini diketuai juruterbang, Leftenan Komander Maritim Tengku Zamel Tengku Zalwai, dibantu pembantu juruterbang, Leftenan Komander Maritim Muhammad Mahathir Ahmad serta 2 kru udara.

Turut mengiringi pesakit dalam penerbangan ini ialah suami pesakit, Isma Daniel Habiq Ismail, seorang pegawai perubatan, Dr Siti Nurfarhana Abdul Rahman dan seorang jururawat. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?