Home Pertahanan dan Keselamatan Op Tanjung: APMM tahan bot nelayan tempatan upah 5 warga asing

Op Tanjung: APMM tahan bot nelayan tempatan upah 5 warga asing

by Muaz Rizqi

GEORGETOWN, 27 Dis – Sebuah bot nelayan tempatan dan Indonesia telah ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pulau Pinang pada 22 serta 24 Disember lalu ketika melakukan rondaan OP TANJUNG.

APMM melalui hantaran di media sosial memaklumkan, kapal rondanya telah menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C di kedudukan 14 batu nautika barat Pulau Kendi sekitar jam 4.17 petang pada 22 Disember 2022.

Manakala bot nelayan Indonesia pula ditahan pada kedudukan 52 batu nautika barat daya Pulau Kendi pada sekitar jam 12.10 tengahari, Sabtu lalu.

Menurut APMM, hasil pemeriksaan mendapati, bot tersebut berpangkalan di Pulau Pangkor, Perak yang dikendalikan oleh 5 kru Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) iaitu 3 warga Myanmar, 2 warga Thailand dan kesemuanya berumur dalam lingkungan 19 hingga 52 tahun.

“Mereka juga didapati gagal mengemukakan pengenalan diri bersama permit bekerja yang sah,

“Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” jelas APMM.

Manakala, hasil pemeriksaan ke atas bot nelayan asing yang berpangkalan di Belawan, Indonesia itu dikendalikan oleh 5 kru warga Indonesia berumur lingkungan 24 hingga 42 tahun.

“Kesemua mereka juga didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia,

“Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” ujar APMM lagi.

Tambah APMM, kedua-dua bot serta kesemua kru ditahan dibawa di Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply