Home Pertahanan dan Keselamatan Tekong lari tinggalkan 4,560 karton rokok seludup

Tekong lari tinggalkan 4,560 karton rokok seludup

by Nurulhuda

TAWAU, 25 Okt – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tawau telah mematahkan cubaan menyeludup masuk 4,560 karton rokok putih di Sungai Merotai Kecil pada Khamis lalu.

Timbalan Pengarah Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Amiludin Yengah berkata, pihaknya turut merampas 2 bot pancung dan sebuah lori yang digunakan oleh sindiket penyeludupan rokok terbabit.

Beliau berkata, ketika kejadian, bot peronda APMM yang sedang menjalankan rondaan Ops Pluto Timur dan Ops Sejahtera di perairan Tawau, mengesan sebuah bot laju yang bergerak dari arah Pulau Sebatik menuju ke Tawau di kedudukan 1.4 batu nautika selatan Sungai Merotai Kecil.

“Menyedari kehadiran bot peronda APMM, bot terbabit bertindak memecut laju menuju ke kawasan Sungai Merotai Kecil,

“Ketika mengejar bot laju tersebut, anggota APMM telah menemukan lokasi disyaki tempat pemunggahan penyeludup di mana terdapat 2 bot pancung dan sebuah lori kargo yang sedang menjalankan aktiviti pemunggahan rokok seludup,

“Menyedari kehadiran bot peronda APMM, tekong bot dan kesemua suspek yang berada di lokasi kejadian bertindak melarikan diri ke kawasan hutan bakau berhampiran dan meninggalkan kesemua barangan di lokasi berkenaan,” jelasnya menerusi hantaran di media sosial APMM, hari ini.

Amiludin menjelaskan, antara barangan yang ditinggalkan adalah kotak dipercayai mengandungi rokok tidak dibayar cukai, 2 bot laju dan sebuah lori.

“Pemeriksaan selanjutnya di lokasi kejadian menemukan 3,500 kotak rokok jenama Astro; 500 karton rokok jenama Asatu Kretek; 560 karton jenama Asatu Mild; 2 buah bot kayu tidak berdaftar dengan enjin 200 kuasa kuda setiap satu serta sebuah lori 3 tan,”ujarnya.

Jelasnya, kesemua barangan dan kenderaan yang digunakan sindiket dirampas untuk disiasat di bawah Akta Kastam 1967 atas kesalahan penyeludupan rokok tidak bercukai.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan hampir RM300,000 (nilai rokok RM156,000).

Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan, siasatan sedang dijalankan bagi mengesan suspek yang terlibat.

“APMM juga percaya sindiket penyeludupan ini mendapatkan bekalan rokok seludup dari negara jiran sebelum dipunggah di lokasi sunyi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply