Home Pertahanan dan Keselamatan 16,612 pegawai, anggota ATM siap sedia mendepani bencana banjir

16,612 pegawai, anggota ATM siap sedia mendepani bencana banjir

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=xoetDjIiZv4[/embedyt]

 

KUANTAN, 18 Okt – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memaklumkan, seramai 16,612 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini berada dalam keadaan siap siaga untuk diaturgerakkan bagi mendepani bencana banjir di kira-kira 5,496 lokasi hotspot banjir di seluruh negara.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, katanya, kira-kira 146 pegawai dan 4,155 anggota akan bertindak sebagai pasukan responder pertama.

“Pasukan ini akan melaksanakan kerja menyelamat dan memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) secepat mungkin,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Aset Banjir Kementerian Pertahanan di Pangkalan Udara Kuantan, hari ini.

Menurutnya, atur gerak itu melibatkan 1,102 aset darat dan 251 unit bot, 295 enjin bot dan 5,573 jaket keselamatan.

“Jumlah atur gerak anggota serta aset ATM ke seluruh negara adalah fleksibel dan ATM mempunyai keupayaan tinggi untuk menambah bilangan anggota serta aset pada bila-bila masa sekiranya diperlukan selari dengan arahan Majlis Keselamatan Negara,” ujarnya.

Turut hadir Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Sebagai persiapan dan kesiapsiagaan ATM menerusi Operasi Murni (OP MURNI) kali ini, beliau berkata, misi bantuan dilaksanakan ke lokasi terjejas banjir apabila terdapat keperluan.

Selain itu, katanya, pasukan perubatan ATM akan diletakkan dalam keadaan sedia bagi melaksanakan bantuan perubatan di PPS.

“Pada masa sama, merancang koordinasi bantuan pesawat udara ATM, memastikan hospital dan pusat perubatan ATM sentiasa dalam keadaan siap siaga, termasuk Hospital Medan.

“ATM turut melaksanakan operasi menghantar barang keperluan ke PPS serta kawasan yang terputus hubungan jalan darat serta memasak di PPS,” ujarnya.

Terdahulu, Hishammuddin telah menyerahkan aset banjir kepada kerajaan negeri Pahang, dalam usaha Kementerian Pertahanan dan NADMA membantu persediaan Negeri Pahang menghadapi musim banjir.

Selain itu, turut berlangsung adalah penyerahan aset (kenderaan) Trak 1 Tan GS Kargo dan Assault Boat bagi kegunaan operasi keselamatan TDM di kawasan tanggungjawab Briged Keempat Infantri Malaysia (4 Bgd) khususnya negeri Pahang.

Penyerahan aset ini telah disampaikan kepada Panglima 4 Bgd, Brigedier Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin.

Menteri Kanan Pertahanan turut diberikan taklimat persediaan Operasi Murni (Bencana Banjir) oleh TDM. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply