Home Pertahanan dan Keselamatan 2 kapal dagang berlanggar di perairan Batu Pahat

2 kapal dagang berlanggar di perairan Batu Pahat

by Nurulhuda

BATU PAHAT, 28 Sept- Dua buah kapal dagang iaitu MV GSL Grania yang membawa muatan kontena dan MV Zephyr I dipenuhi campuran Bitumen, berlanggar di perairan Batu Pahat, semalam.

Pengarah Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata, pihaknya menerusi Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah menerima maklumat dari Jabatan Laut Wilayah Selatan mengenai kejadian itu pada 4.30 awal pagi.

Beliau berkata, kejadian pada 4.18 pagi itu berlaku di kedudukan 11.7 batu nautika barat daya Tanjung Laboh.

“Sebaik maklumat diterima, bot Benteng 05 telah digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan pemantauan dan misi bantuan,

“Kapal MV GSL Grania berdaftar di Liberia dan dalam perjalanan ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) manakala kapal MV Zephyr I yang berdaftar di Panama, dipercayai dalam perjalanan ke China,

“Maklumat awal kemalangan yang diterima daripada nakhoda kapal MV GSL Grania menyatakan bahawa pelanggaran ini adalah disebabkan oleh kapal MV Zephyr I yang hilang kawalan lalu merempuh di bahagian sisi kanan kapal berkenaan sehingga mengakibatkan kerosakan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Mohd Haniff menjelaskan, pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang kecederaan dialami oleh kesemua kru kedua-dua kapal berkenaan selain tiada tumpahan minyak dikesan akibat pelanggaran. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply