Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia-UAE kukuh hubungan dua hala dalam konteks pertahanan

Malaysia-UAE kukuh hubungan dua hala dalam konteks pertahanan

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memperhalusi prospek ke arah mengukuhkan lagi hubungan dua hala khususnya dalam konteks pertahanan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, prospek ini mesti diterokai sebaik mungkin demi memacu kerjasama pertahanan Malaysia-UAE ke tahap yang lebih tinggi.

“Ini termasuklah dengan meningkatkan perkongsian kepakaran serta pengalaman Malaysia dan UAE demi kepentingan keselamatan rakyat masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu Hishammuddin membuat rangka lawatan rasmi ke UAE bagi bertemu beberapa pemimpin tertinggi Kerajaan UAE.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammudin Hussein mengadakan pertemuan dengan Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan di Istana Qasr Al Shati’

“Lawatan rasmi ini dimulakan dengan pertemuan bersama Yang Mulia Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, Presiden UAE merangkap Pemerintah Abu Dhabi serta Panglima Tertinggi Angkatan Tentera UAE di Istana Qasr Al Shati’,

“Berkongsi sejarah hubungan dua hala yang akrab, kami mengambil peluang menzahirkan penghargaan atas komitmen kerajaan masing-masing demi memastikan hubungan Malaysia-UAE kekal bermanfaat dan membanggakan,” ujarnya.

Beliau berkata, pertemuannya bersama Sheikh Mohamed turut membincangkan keperluan meningkatkan semangat persefahaman berteraskan nilai-nilai perpaduan dan tolak ansur.

“Terutamanya melalui penubuhan Kursi Sheikh Zayed di Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia secara sintesis dengan Kursi Tun Hussein Onn yang telah lama ditubuhkan,

“Kursi Sheikh Zayed ini telah dipersetujui penubuhannya semasa saya Menteri Luar Negeri sebelum ini,” jelasnya.

Lawatan itu turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Pada masa sama, Hishammuddin turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Negara bagi Hal Ehwal Pertahanan, Mohammed Ahmed Al Bowardi yang menumpukan terhadap hubungan pertahanan akrab antara menteri dan angkatan tentera masing-masing.

Katanya, pada mesyuarat tersebut telah membawa kesepakatan untuk mengadakan latihan dua hala melibatkan ATM dengan Angkatan Tentera UAE tertumpu di kawasan darat khususnya melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Angkatan Darat UAE.

“Mesyuarat juga bersetuju meningkatkan pertukaran dan latihan pegawai ketenteraan antara kedua-dua angkatan tentera,

“Meningkatkan penglibatan antara ketenteraan di peringkat tertinggi. Perkara ini turut dipersetujui oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia dan Ketua Staf Angkatan Tentera UAE, Leftenan Jeneral Hamad Mohammed Thani al-Rumaithi

“Mengeratkan kerjasama berkaitan industri pertahanan terutama berhubung Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) Malaysia,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Hishammuddin juga mengambil kesempatan untuk menyampaikan jemputan kepada TYT Mohammed Ahmed untuk hadir ke Langkawi International Maritime and Aerospace (LIMA) pada 23 hingga 27 Mei 2023. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply