Home Pertahanan dan Keselamatan PERHEBAT lancar Roger Coffee bantu veteran tentera

PERHEBAT lancar Roger Coffee bantu veteran tentera

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) melancarkan cawangan pertama Roger Coffee bagi membantu pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Hang Tuah, hari ini.

Kementerian Pertahanan dalam hantaran di media sosialnya berkata, Roger Coffee ini akan diusahakan oleh bekas pelatih PERHEBAT iaitu Khairul Amilin Zakaria yang mengikuti Latihan Peralihan Kursus Usahawan Bakeri dan Pastri pada 2021.

“Roger Coffee merupakan program keusahawanan khusus bagi veteran tentera untuk menceburi bidang perniagaan food & beverages (F&B) berasaskan produk minuman kopi di bawah inisiatif VETERANiaga,

“Cawangan ini merupakan sebahagian daripada program sewaan premis perniagaan Prasarana-PERHEBAT, iaitu Ruang Niaga @ Stesen LRT,

“Setakat ini, sejumlah 45 lot telah disewa melibatkan 17 veteran yang telah mula berniaga di 10 stesen-stesen LRT sekitar Lembah Klang,” katanya.

Perasmian cawangan pertama Roger Coffee ini telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah PERHEBAT, Zakariah Md Sam.

Dalam pada itu, program perniagaan Roger Coffee ini terbuka kepada semua veteran yang serius dalam perniagaan dengan tawaran pakej lengkap berjumlah RM80 ribu.

“Veteran akan dilengkapi dengan perkakasan dan peralatan, one-off bekalan bahan mentah, bimbingan pemasaran dan konsultasi perniagaan,” ujarnya. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply